Rindu suasana kampung dulu-dulu

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SELEPAS 11 tahun peneroka mendapat pampasan pada 2006, pembangunan di tanah rancangan Felda Sendayan berterusan sedikit demi sedikit dengan nama baharu, Bandar Seri Sendayan.


Terletak di Dewan Undangan Negeri (Dun) Labu, pembangunan di Sendayan sangat terancang, tidak pernah terhenti sebaliknya satu persatu usaha kerajaan negeri menjadikan Sendayan sebagai sebuah lagi bandar selain pusat bandar Seremban dan Senawang.


Jika awal pendudukan, Felda Sendayan hanya sebuah kampung yang mempunyai sekitar 500 penduduk asal peneroka, namun kini tidak lagi kerana kepadatan penduduk di Bandar Seri Sendayan saja dianggarkan lebih 40,000 orang.


Walaupun menikmati pelbagai perubahan positif, penduduk di Kampung Sendayan masih merindui suasana kampung satu ketika dahulu.


Itu yang dapat disimpulkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sendayan, Mohd Yusof Ismail, 73, yang mengakui suasana Kampung Sendayan kini sudah banyak berubah berbanding dahulu.


[ARTIKEL BERKAITAN: Sendayan sudah berubah]

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Dulu lain, sekarang lain’]


Menurutnya, beberapa aktiviti di kampung berkenaan hanya tinggal kenangan akibat ditelan masa.


“Zaman dulu, kenduri kendara diadakan secara bergotong-royong. Tapi sekarang dah tak sama sebab rata-rata guna khidmat katering. Paling ketara berubah sekitar era 90an.


“Kemudian, ikatan kemesraan pun dah semakin berkurang khususnya antara golongan tua dan muda memandangkan kebanyakan generasi baru membesar dan bekerja di tempat lain. Pulang pun sesekali saja,” katanya.


Namun paling tidak dapat dilupakan, katanya, kelebihan yang pernah dimiliki Kampung Sendayan suatu ketika dahulu dalam bidang sukan.


“Kampung ni pernah ada pasukan bola jaring dan sepak takraw yang boleh dikatakan agak digeruni sekitar era 70an dan 80an.


“Antara pencapaian terbaik skuad bola jaring, kami dapat naib juara dalam Sukan Felda peringkat kebangsaan. Sepak takraw pula naib juara Sukan Felda peringkat Negeri Sembilan.

Skuad sepak takraw Kampung Sendayan sekitar era 70-an.


“Sayangnya ramai yang terlibat dah berhijrah keluar untuk kembangkan kerjaya masing-masing. Bukan tak cuba cari pelapis, tapi anak muda zaman sekarang lebih tertarik pada gajet berbanding aktiviti fizikal,” katanya menutup bicara.


Gaya hidup berubah


Sementara itu, generasi kedua Kampung Sendayan, Mohd Nor Ahmad, 60, berkata, melihat limpahan pembangunan di kawasan itu membawa perubahan terhadap gaya hidup penduduk.


“Dah asalnya pun Felda, maka hidup pun cara kampung. Tapi sekarang dah moden terutama dari segi reka bentuk rumah.


“Cuma tinggal lagi, kos hidup pun bertambah. Kalau dulu cuma perlu bayar cukai tanah, sekarang kena bayar cukai pintu dan Indah Water.


“Mula semua ni bila Kampung Sendayan dimasukkan bawah MPN (Majlis Perbandaran Nilai) sekitar tahun 2006,” katanya.


Akibat situasi tersebut, katanya, ada penduduk tidak tahan hingga sanggup menjual rumah banglo setingkat yang diterima bagi menampung hidup.


“Sejajar dengan pembangunan yang datang, secara tak langsung turut tarik orang luar untuk buat jenayah. Pada tanggapan mereka, orang Kampung Sendayan banyak duit.


“Contoh mudah, ibu saya sendiri nyaris dirompak pada 2011. Masa tu ada tiga lelaki dianggarkan berusia lingkungan 20an cuba nak masuk rumah.


“Tapi mujur ibu saya tak benarkan sebab sangsi dengan niat sebenar mereka,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]