Tanam pokok atasi masalah sampah haram

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Bagi mengatasi masalah pelupusan sampah secara haram daripada berulang, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) mengambil langkah dengan menanam 166 pokok jenis ‘Eugenia’ di beberapa lokasi sekitar Klang Utara dan Selatan.


Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, ia bertujuan membanteras pihak yang tidak bertanggungjawab daripada terus melonggok sampah secara haram di lokasi berkenaan.


Ia juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghijaukan alam sekitar.


“Mengikut data operasi, sebanyak 154,296.25  tan sampah telah dibersihkan di sekitar Klang sehingga September 2017 dan 28,324.49  tan sampah haram  (Januari hingga September 2017) dibersihkan di mana sebahagian besar datangnya dari tapak pembuangan sampah haram seperti di sini.


“Saya berharap aktiviti ini dengan sendirinya akan menyemai budaya menjaga kebersihan dan pemeliharaan persekitaran hijau di kalangan warga Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Yasid turut meminta masyarakat menghubungi pihaknya sekiranya mengesan pihak tidak bertanggungjawab membuat sampah secara haram di lokasi tertentu.


“Komitmen yang ditunjukkan oleh JKP dan Ahli Majlis juga banyak membantu dalam program tanaman pokok yang diadakan di 21 lokasi itu di mana 17 lokasi telah berjaya ditutup dan beberapa langkah proaktif untuk mengurangkan masalah pembuangan sampah secara haram termasuk penguatkuasaan sentiasa diperhebat dari masa ke semasa.


“Sebanyak 27 kenderaan telah disita (sehingga September 2017) dan 87 (2016) kerana kesalahan itu (pembuangan sampah haram),” katanya lagi.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]