Warga emas dikhuatiri hilang di Hutan Simpan Lebir

in Edisi by


GUA MUSANG – Seorang warga emas dikhuatiri hilang di Hutan Simpan Lebir, di sini selepas gagal dikesan ketika membuat tinjauan untuk kerja-kerja mengukur sempadan di kawasan berkenaan, empat hari lalu.


Mangsa yang dikenali sebagai Akok, 63, dari Negeri Sembilan, disyaki hilang tanpa berita selepas memberitahu rakannya, Pandu Amat, untuk kembali ke kenderaan mereka.


Menurut Pandu, pada 8 Oktober lalu, kira-kira jam 10 pagi, mereka bertiga termasuk anaknya, Azerin Pandu, menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux, tiba di kawasan berkenaan.


“Kami ke sana untuk meninjau kawasan untuk membuat sempadan. Lebih kurang jam 2.30 petang, Akok memberitahu saya untuk pulang ke tempat letak kenderaan untuk berehat.


“Jarak untuk pulang ke lokasi kenderaan adalah sejauh 3 kilometer. Selesai urusan, saya keluar dari kawasan itu pada jam 5.30 petang namun Akok tiada.


“Bagaimanapun, barang-barang miliknya ada di dalam kenderaan. Saya bersama anak turut mencarinya di kawasan sekitar namun gagal menemui apa-apa,” katanya lagi.


Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd Yussalmi Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, malam kelmarin.


“Kami menerima panggilan pada jam 8.36 malam dan memulakan operasi mencari dan menyelamat semalam.


“Namun, tiada sebarang penemuan sehingga kini dan operasi ini akan diteruskan esok. Difahamkan, mangsa memakai baju biru lengan panjang dan seluar panjang berwarna hijau kelabu.


“Sekiranya ada sesiapa yang menjumpai sebarang penemuan di kawasan berkenaan, kita mohon agar melaporkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya lagi.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]