Dua beradik berhadapan detik cemas dilarikan penyamun

in Semasa by


SKUDAI – Dua kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka dilarikan penjenayah dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi tadi di Taman Pulai Indah dekat Kangkar Pulai, di sini.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamed berkata, kejadian berlaku ketika ibu mangsa yang berusia 32 tahun keluar dari keretanya jenis Perodua Myvi untuk mengambil payung di bonet kerana hujan.


“Ketika kejadian ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu klinik mahu menghantar dua anaknya yang berusia tiga dan lima tahun ke rumah ayahnya di kawasan tersebut.


“Wanita itu kemudian terlihat seorang lelaki memakai topi kain berwarna biru masuk ke dalam keretanya dan dikunci dari dalam untuk dilarikan bersama kedua-dua anaknya,” katanya.


Noor Hashim berkata, mangsa cuba berpaut pada keretanya tetapi gagal lalu terjatuh.


“Adik mangsa cuba mengekori kereta tersebut dan terlihat anak perempuannya ditinggalkan di tepi jalan selang beberapa lorong dari rumah ayahnya.


“Mangsa telah datang ke Balai Polis Kangkar Pulai untuk membuat laporan dan semasa berada di situ pihak kami menerima panggilan dari adik mangsa menyatakan ada seorang saksi telah menjumpai anak lelaki mangsa di pintu masuk Taman Pulai Indah dan menghantar semula ke rumah ayah mangsa,” katanya.


Beliau berkata, kereta yang dilarikan suspekĀ  dijumpai terlibat dengan kemalangan di kawasan Ulu Choh, di sini kira-kira jam 8.45 pagi tadi selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori.


“Tiada suspek di situ kerana dipercayai telah melarikan diri bersama seorang lagi rakannya,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]