Lagi bot nelayan asing dikesan di perairan Sarawak

in Edisi Sabah Sarawak by


KUCHING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuching menahan sebuah bot nelayan asing yang menceroboh kawasan perairan Sarawak untuk menangkap ikan, Selasa lalu.


Pengarah APMM Daerah Maritim Kuching, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, bot yang membawa sembilan awak-awak dan tekong yang dipercayai dari Vietnam itu ditahan  semasa  sedang  menangkap ikan di kedudukan kira-kira 206 batu nautika timur laut dari Tanjung Po.


Beliau berkata semua awak-awak dan tekong yang berumur antara 18 dan 45 tahun itu kini ditahan reman dan kes sedang disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa kepada hukuman denda serta penjara, manakala bot serta peralatan menangkap ikan disita.


“Bot nelayan asing sudah dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas di sini petang semalam. Kira-kira 200kg pelbagai jenis ikan berserta kelengkapan alat menangkap ikan jenis rawai telah ditemui di bot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.


Shahref seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya di kawasan perairan negara supaya menghubungi pihaknya dengan menelefon 082-432544, hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]