Pernah ditahan, masih berdegil mengemis

in Semasa by


PETALING JAYA – Pernah ditahan, namun masih berdegil untuk mengemis. Itu antara kesalahan yang dikesan dalam operasi Jabatan Imigresen Selangor dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dijalankan kira-kira jam 6.30 petang, di persekitaran Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.


Ketua Unit Penguatkuasa Imigresen Selangor, Jaimin Sumpit berkata, dalam operasi ini yang bertujuan membanteras aktiviti gelandangan dan peminta sedekah terutamanya dari kalangan warga asing di sekitar Petaling Jaya, seramai 19 individu telah ditahan.


Menurutnya, semakan mendapati majoriti yang ditahan adalah warganegara Kemboja selain dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.


“Ada juga individu yang ditahan merupakan pemegang kad UNHCR.


“Malah kita juga mengesan ada antara warga asing ini pernah ditahan sebelum ini kerana melakukan kesalahan yang sama,” katanya.


Operasi yang tamat pada jam 1 pagi ini turut melibatkan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia dan MBPJ.


Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia tiga bulan hingga 76 tahun ini tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.


Katanya, mereka kemudian telah dibawa ke pejabat penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]