Tingkat penggunaan Johor Wifi

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri akan mendirikan lebih banyak tiang rangkaian Johor Wifi terutama di kawasan luar bandar bagi meluaskan radius keperluan komunikasi rakyat tersebut.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, usaha itu adalah penambahan daripada 135 tiang rangkaian sedia ada sejak perkhidmatan tersebut dilancarkan pada 2016 lalu.


Menurutnya, kemudahan perkongsian jalur lebar secara meluas juga dilihat dapat mengelakkan agenda jurang digital di antara masyarakat bandar dan luar bandar.


“Teknologi Wifi ini semestinya mampu mempermudah pembentukan masyarakat berilmu (K-Society) di Johor serta membolehkan negeri ini menceburi aktiviti ekonomi berasaskan kepada pengetahuan.


“Usaha itu juga membolehkan rakyat di kawasan-kawasan luar bandar menikmati serta mengambil faedah kemudahan ICT sepertimana mereka yang berada di bandar sekali gus menjadi pemangkin untuk meningkatkan kualiti hidup dan mewujudkan nilai ekonomi sama ada bagi isi rumah, pelajar, wanita dan warga emas,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Johor Wifi sempena Ekspo Johor Berkemajuan, di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, di sini, semalam.


Mengulas perkhidmatan Premium Johor Wifi itu, Hasni berkata, inisiatif tersebut merupakan penambahbaikan dalam memenuhi kehendak masyarakat yang inginkan rangkaian internet lebih efisien.


Katanya, perkhidmatan terbaharu itu membabitkan penjualan perkhidmatan premium pra bayar dengan kadar yang berbaloi.


“Umum mengetahui, pelaksanaan Johor WiFi ini memerlukan peningkatan kualiti perkhidmatan dan talian yang berterusan. Justeru, penjualan perkhidmatan premium pra bayar merupakan penyelesaian terbaik yang mampu memberikan faedah tambahan kepada pengguna awam.


“Dengan ini, pengguna boleh memastikan tiada kesesakan akses kepada perkhidmatan bagi setiap capaian, pengguna juga boleh mendapat akses yang lebih cepat tanpa perkongsian serta berpeluang menggunakan ‘bandwidth’ yang lebih besar tanpa had masa bagi setiap sesi,” katanya.


Menurutnya, perkhidmatan Premium Johor Wifi itu didatangkan dengan dua kadar pakej mampu milik.


“Dengan hanya RM5, pengguna dilengkapi dengan kelajuan dua mega bit per second (MBPS) selama tiga hari, manakala pakej bernilai RM10 pula membolehkan pengguna mendapat capaian dengan kelajuan sama tetapi untuk tujuh hari penggunaan,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, penggunaan premium ekspo tersebut tidak dipaksa dan boleh digunakan sekiranya mahu perkhidmatan lebih baik dari perkhidmatan percuma yang asal.


Untuk rekod, Johor Wifi mencatatkan penggunaan daripada 600,000 pengguna sejak dilancarkan tahun lalu.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]