Warga Iran mohon tangguh hukuman mati

in Semasa by


PUTRAJAYA – Seorang lelaki warga Iran yang sedang menunggu hukuman mati hari ini memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga peruntukan hukuman mati mandatori untuk pengedar dadah dipinda di Parlimen.


Hamidreza Farahmand Hassan, 43,  memfailkan notis usul dan afidavit bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952  sehingga ia dipinda untuk memasukkan peruntukan tambahan yang memberi kuasa budi bicara kepada mahkamah menjatuhkan hukuman selain hukuman mati mandatori dalam keadaan tertentu.


Lelaki itu memfailkan notis usul dan afidavit berkenaan menerusi Tetuan Karpal Singh & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan, di sini.


Menurut notis usul yang difailkan, alasan permohonan itu ialah kerajaan Malaysia akan membuat pindaan kepada ADB yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati bagi kesalahan mengedar dadah akan dipinda dan hakim akan diberikan kuasa budi bicara dalam membuat keputusan alternatif yang sesuai.


Selain itu, kerajaan Malaysia masih belum menyatakan dengan pasti dan jelas keputusan sama ada cadangan pindaan tersebut akan berkuat kuasa secara retrospektif atau sebaliknya, oleh yang demikian kemungkinan cadangan pindaan tersebut akan berkuat kuasa secara retrospektif tidak boleh dikecualikan.


Alasan lain ialah pemohon akan diprejudiskan dengan serius sekiranya hukuman mati dilaksanakan terhadapnya sebelum cadangan pindaan tersebut diluluslan oleh Parlimen, kerana hukuman mati adalah bersifat ‘irreversible’ (tidak berbalik).


Sekiranya hukuman gantung sampai mati terhadap Hamidreza Farahmand dilaksanakan sebelum cadangan pindaan tersebut diluluskan oleh Parlimen, dia akan kehilangan satu peluang yang amat penting bagi mengkaji semula hukuman terhadapnya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman membuat kenyataan bahawa mesyuarat kabinet pada 1 Mac 2017  bersetuju untuk meminda Seksyen 39B ADB 1952 atau Akta 234, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan memiliki dadah melebihi sukatan tertentu.


Hamidreza Fahmand dituduh mengedar dadah jenis metamfetamina seberat 1.441 gram, tujuh tahun lepas, di Bahagian Luar Hadapan Pintu 5, Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, pada 12.05 tengah malam pada 2 Februari 2010.


Pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan  yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) ADB 1952, memperuntukkan hukuman mati mandatori.


Bekas jurulatih ‘kick-boxing’ profesional itu yang diwakili peguam Ram Karpal Singh, telah didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum disabitkan dan dihukum gantung sampai mati oleh mahkamah sama pada 15 Mei 2014.


Dia kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam di Mahkamah Rayuan, namun ditolak pada 25 Feb 2015  dengan alasan sabitan dan hukuman telah disahkan.


Seterusnya bapa kepada dua anak dan penanggung utama keluarga itu telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan itu pada 8 Ogos 2016.


Susulan daripada keputusan Mahkamah Persekutuan itu, pada 10 Okt 2017, Hamidreza Farahmand telah menghantar satu petisyen pengampunan kepada Lembaga Pengampunan Negeri Selangor dan sehingga sekarang masih belum mendapat sebarang maklum balas mengenainya. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]