Bukan sampah saja faktor denggi

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Pengurusan sampah bukan satu-satunya faktor yang menyebabkan berlakunya kes demam denggi.


Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata demikian menyangkal kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang memberitahu Selangor mencatat rekod tertinggi wabak denggi disebabkan oleh faktor pengurusan sampah dan sisa pepejal yang lemah.


Beliau berkata, kenyataan itu adalah tidak tepat serta tuduhan tidak berasas.


Menurutnya, mengambil contoh negara jiran, Singapura yang dikatakan bersih, namun turut mencatat kes denggi di sana.¬† “Beberapa punca utama lain yang menyebabkan kes denggi ini menjadi satu epidemik sehingga ke hari ini antaranya kepadatan penduduk yang tinggi serta kebanjiran buruh asing yang tidak mengambil berat soal kebersihan.


“Berdasarkan data yang dikeluarkan jabatan perangkaan, jumlah penduduk Selangor adalah sekitar 6.2 juta orang dan ia tidak termasuk sekitar dua juta penduduk yang bermukim di Selangor ataupun ‘transcient population’ seperti pelajar-pelajar IPTA, IPTS serta warga luar Selangor yang datang mencari rezeki di negeri ini.


“Ditambah dengan bilangan buruh warga asing yang dianggarkan sekitar sejuta orang, maka jumlah itu mencecah sekitar¬† 9.2 juta orang,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.¬† Daroyah berkata, satu lagi faktor yang menyumbang adalah mentaliti penduduk yang tidak mengambil berat soal kebersihan.


Katanya, ini terbukti dengan terdapat hotspot sampah haram yang walaupun berkali-kali dibersihkan dan pelbagai kempen kesedaran serta tindakan penguatkuasaan dibuat, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab terus-menerus membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.


“Selain faktor cuaca, denggi juga adalah penyakit urban, sering berlaku di bandar-bandar besar kerana pelbagai projek pembangunan rancak berlaku.


“Jadi, tidak adil jika statistik denggi ini hanya dilihat dari satu faktor semata-mata, sebaliknya ia perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya.


Terdahulu, Hilmi mengulas mengenai laporan kes denggi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan dengan sejumlah 71,892 kes dicatatkan di seluruh negara dan Selangor adalah negeri yang mempunyai kes tertinggi sebanyak, 39,158 dengan 59 kematian dalam tempoh Januari sehingga 10 Oktober lalu.


Dalam perkembangan lain, Daroyah berkata, kerajaan Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa bekerjasama erat dengan jabatan kesihatan negeri yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan dalam usaha membanteras gejala Aedes dan Denggi secara konsisten.


Katanya, statistik KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) yang dilantik menguruskan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di tiga buah PBT memaklumkan jumlah aduan diterima melalui ‘Centralized Command Center’ (CCC) menunjukkan trend penurunan yang memberangsangkan pada setiap bulan.


“Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa perkhidmatan kutipan sampah yang dikendalikan adalah diurus dengan baik,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]