Harap hukuman ringan

in Sukan by


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) berharap atlet terjun wanita negara yang positif menggunakan bahan terlarang jenis sibutramine di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu dikenakan penggantungan selama enam bulan sahaja, lapor NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH.


Penolong Setiausaha MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, ini kerana jika atlet berkenaan dikenakan hukuman lebih enam bulan sukar untuk beliau menyertai Sukan Komanwel Gold Coast, 4 hingga 15 April 2018.


Bagaimanapun tempoh itu tertakluk kepada beberapa faktor, antaranya kerana dilakukan tanpa sedar, di samping penggunaannya mungkin tidak memberikan kesan maksimum terhadap prestasi.


“Faktor tertentu itu adalah sama ada atlet tersebut sedar atau tidak sedar akan pengambilan bahan terlarang itu.


“Dari situ, keputusan akan dibuat berdasarkan faktor ini di samping mengambil kira penjelasan atlet tersebut. Jika atlet wanita itu menjelaskan ketika proses pendengaran yang dia tidak tahu, mungkin hukuman itu ringan.


“Apa pun saya berharap hukuman itu tidak sampai setahun atau dua tahun bagi membolehkannya beraksi di Sukan Komanwel tahun depan,” katanya semalam.


Beliau berkata demikian ketika mengulas nasib atlet terjun wanita itu selepas Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar memberitahu keputusan sama ada akan digantung atau terlepas daripada sebarang hukuman akan diketahui dalam tempoh tiga hari lagi apabila sampel B air kencingnya mula diuji di sebuah makmal di New Delhi, India, semalam.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]