IBPS bantu kurangkan kos pengeluaran padi

in Nasional by


SHAH ALAM – Program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) diwujudkan bagi membantu pesawah mengurangkan kos pengeluaran padi serta menggalakkan penggunaan benih padi sah yang berkualiti, bermutu tinggi, rintang penyakit dan mengurangkan padi angin.


Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, di atas keprihatinan kerajaan terhadap golongan pesawah, sebanyak RM75 juta telah diperuntukkan di bawah Insentif Benih Padi Sah.


“Setiap tahun, keperluan benih padi sah adalah sebanyak 80,000 tan matrik (mt) dengan mengambil kira sekiranya berlaku apa-apa bencana. Bagaimanapun, keperluan sebenar benih padi adalah berjumlah 72,000 mt (RM75 juta).


“Pihak kerajaan telah memberikan subsidi bagi benih padi sah dengan harga jualan sebanyak RM1.40 per kg di pintu kilang (RM28.00/beg) di mana insentif kepada pengeluar benih padi sah adalah sebanyak RM1.03/kg (RM20.60/beg),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Bagi 2017 sehingga 2019, terdapat sembilan pengeluar benih padi sah yang dilantik secara tender terbuka di mana kriteria pemilihan adalah berdasarkan kemampuan kapasiti loji memproses benih padi, sumber manusia syarikat untuk penyeliaan ladang dan penilaian kewangan.


Justeru itu, Ismail berkata, mana-mana petani yang telah membuat pembelian benih padi sah di pintu kilang pengeluar benih padi sah boleh mendapatkan bayaran balik.


“Pesawah yang membeli benih padi sah pada harga melebihi RM28.00/beg boleh mendapatkan bayaran balik dengan syarat  mengemukakan resit pembelian tersebut.


“Bagaimana pun tuntutan tidak boleh dilakukan dengan pembelian benih padi varieti MR220 CL2,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]