
SEGAMAT – Kerajaan negeri melalui Yayasan Johor (YPJ) dan Majlis Agama Islam Johor (Maij) sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan pelajar negeri ini yang sedang belajar di Mesir.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, dalam lawatannya ke Universiti Al-Azhar baru-baru ini, beliau mendapati masalah utama yang dihadapi pelajar adalah berkaitan pembiayaan.
Menurutnya, biasanya pelajar tahun pertama dan kedua tidak mempunyai pembiayaan atau tajaan dan segala perbelanjaan termasuk yuran pengajian ditanggung ibu bapa mereka.
“Kerajaan negeri memahami masalah ini dan disebabkan itu YPJ dan Maij akan pergi sendiri ke sana untuk menemu duga pelajar yang layak untuk diberikan bantuan, pinjaman atau zakat,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Memperkasa Muafakat Johor Islam peringkat daerah di Dewan Serbaguna Jalan Genuang di sini, semalam.
Turut hadir, Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim), Karim Omar; Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad dan Kadi Daerah Segamat, Baharin Jalal.
Dalam pada itu, Ayub berharap pelajar tajaan YPJ di Mesir yang berjaya menamatkan pengajian dapat pulang mencurahkan bakti mereka di negeri ini selain YPJ akan sentiasa membantu pelajar Johor yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, pelajar Johor yang berada di Mesir dan Jordan turut memahami kehendak kerajaan negeri terutamanya berkaitan idea dan Gagasan Johor Berkemajuan yang dibawa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Mereka ini merupakan aset kerajaan negeri dan pelaksana agenda-agenda yang telah dirancang untuk masa akan datang. Setakat ini saya berpuas hati dengan pemahaman mereka berkenaan konsep ini.
“Kerajaan negeri juga sentiasa menasihatkan mereka agar tidak terpengaruh dengan ideologi politik pihak tertentu dan sentiasa mematuhi peraturan serta perjanjian yang ditandatangani mereka,” katanya.
Source: SH Edisi Johor
[featured-video-plus]