Pekerja kedai serbaneka ditetak penyamun

in Edisi by


IPOH – “Saya nampak mangsa terduduk lemah dalam keadaan berdarah, sementara isterinya menggigil ketakutan. Melihat keadaan itu, saya terus hubungi polis dan ambulans,” kata saksi kejadian kes samun melibatkan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Halaman Meru Permai, Meru Raya, di sini semalam.


Lelaki mahu dikenali sebagai Aron, 20, berkata, kejadian itu disedari ketika dia memasuki premis berkenaan untuk membeli barang.


Menurutnya, ketika berada di luar premis, dia ada terlihat kelibat lelaki bertopi keledar berlari keluar dari kedai berkenaan, namun tidak mengesyaki apa-apa.


“Masuk sahaja saya nampak mangsa dah terduduk berhampiran kaunter dengan kesan luka di kepala. Darah sudah banyak di lantai dan ada juga kesan tapak kasut.


“Seorang wanita memperkenalkan diri sebagai isteri mangsa pula menangis. Mereka maklumkan diserang beberapa lelaki yang datang merompak kedai itu,” katanya kepada Sinar Harian.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, seorang lelaki dilaporkan parah di kepala dan tangan dipercayai ditetak menggunakan parang dalam kejadian samun melibatkan enam lelaki yang datang menggunakan motosikal.


Suspek sempat mengambil wang tunai RM500 yang tersimpan dalam mesin juruwang dan beberapa barangan lain.


Isteri mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan dilaporkan masih berada dalam keadaan trauma.


Aron yang tinggal di taman berhampiran kawasan itu memaklumkan, ini pengalaman pertamanya berhadapan situasi sedemikian.


“Kalau saya awal sedikit datang, mungkin mangsa tidak cedera seteruk itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut kini dilakukan bagi memburu suspek terlibat.


Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki bertopi keledar penutup penuh memukul mangsa berkali-kali tanpa belas kasihan.


Kelakuan suspek itu dikutuk pengguna media sosial yang beranggapan kelakuan itu tidak wajar apatah lagi mangsa tidak melawan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]