Pembangunan terancang sejak 2006

in Nasional by


JIKA awal penempatan, Felda Sendayan hanya sebuah kampung yang dihuni sekitar 500 peneroka, namun kini tidak lagi kerana kepadatan penduduk di Bandar Seri Sendayan sahaja dianggarkan lebih 40,000 orang.


Pembinaan pelbagai jenis taman perumahan, sama ada kos rendah, mampu milik, sederhana dan mewah di Sendayan menjadikan daerah ini sebagai pilihan utama penduduk Negeri Sembilan, bahkan orang luar yang turut berminat membeli rumah di sini.


Pembangunan semakin rancak apabila projek Malaysia Mission Valley (MVV) melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) akan dibina sebahagiannya dalam kawasan Sendayan, selain Nilai dan Bandar Enstek bagi melengkapkan pembangunan di Lembah Klang.


Dalam masa tempoh 10 tahun akan datang, Sendayan dijangka menjadi salah satu kawasan yang mempunyai pembangunan tercanggih dikenali sebagai bandar moden metropolis.


Projek MVV yang mempunyai keluasan 108,000 hektar itu akan memberi impak besar kepada kerajaan negeri terutamanya pembinaan terancang dan moden di Sendayan, selain Nilai dan sebahagian Port Dickson.


Sendayan hab perindustrian


Pembangunan terancang dan kian membangun di Sendayan menjadikan kawasan yang dahulunya sebuah perkampungan Felda, kini bertukar sebagai lokasi rebutan pelabur.


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Negeri Sembilan khususnya Sendayan kini umpama ‘magnet’ pelaburan bagi pembesaran Wilayah Persekutuan dan Lembah Klang.


Beliau berkata, ramai pelabur dari luar berlumba-lumba untuk membina kilang di Kawasan Perindustrian Sendayan Tech Valley berikutan keluasan tempat yang mencukupi, selain penyediaan infrastruktur terbaik yang disediakan kerajaan negeri melalui perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).


“Lihat sahaja di Sendayan Tech Valley, sudah banyak kilang dari negara luar  yang membinanya di situ, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar sama ada dari golongan mahir, profesional kepada penggunaan tenaga kerja menyeluruh.


“Kawasan perindustrian ini dikategorikan sebagai lokasi berkelas A yang mana banyak menempatkan industri berteknologi tinggi, misalnya industri brek kapal terbang dan pembuatan enjin kereta.


“Selain tarik pelabur masuk,  ia juga dapat memberi manfaat kepada anak-anak muda di Negeri Sembilan dalam bidang pekerjaan,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sendayan sudah berubah]


[ARTIKEL BERKAITAN: Rindu suasana kampung dulu-dulu]


[ARTIKEL BERKAITAN: Kisah jutawan segera Felda Sendayan]


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]