Trend bunga 3D, tampil bergaya dan eksklusif

in Bisnes by


KALAU beberapa bulan lalu, tampalan bunga-bunga pada pakaian dan tudung menjadi trend. Kini, muncul pula fesyen baharu iaitu bunga 3D.


Sebelum ini, bunga 3D ini banyak digunakan pada baju kurung moden yang dijual di butik-butik terkemuka negara dengan ratusan ringgit bagi sehelai pakaian.


Melihat trend baharu itu, muncul usahawan yang berani merebut peluang perniagaan dengan menghasilkan rekaan bunga 3D untuk memberi pelbagai pilihan kepada orang ramai.


Trend bunga 3D ini menjadi pilihan sejak Ramadan lalu kerana pakaian akan tampak lebih seri dan mewah.


Sesuai untuk tudung, pakaian


Pakaian yang menggunakan bunga 3D boleh menjadikan baju yang digayakan lebih cantik dan berseri.


Salah seorang pengguna, Ros Hastina Hassan, 38, berkata, bunga 3D itu sesuai dipasang pada baju kosong tanpa corak di bahagian lengan baju atau hujung selendang.


“Saya melihat trend ini di laman sosial dan cuba sendiri dengan menempah dan terus digunakan pada pakaian.


“Hasilnya, rakan-rakan sepejabat turut tertarik dan meminta saya menjahitkan bunga 3D pada baju mereka. Bermula dari situ, saya kini menjalankan perkhidmatan jahitan bunga 3D untuk rakan-rakan dan jiran,” katanya.


Hariyana Hairon pula berkata, dia mula tertarik dengan bunga 3D apabila melihatnya di Facebook kerana ianya antara produk yang menjadi trend ketika ini.


“Saya suka tengok dan hasilnya cantik apabila dikenakan pada baju yang biasa tanpa corak, nampak eksklusif dan mewah.


“Selain baju untuk diri sendiri, saya juga ada membeli bunga 3D untuk dipasang pada baju anak saya,” katanya.


Mengulas harganya, Hariyana berkata, ianya sangat murah dan berpatutan jika dibandingkan dengan harga baju siap yang dijual dengan bunga 3D di butik.


“Kalau beli di kedai sudah pasti harganya mencecah ratusan ringgit,” katanya.


Seorang lagi pengguna bunga 3D dan pengusaha tudung menerusi jenama Qalianda, Noor Haslinda Omar berkata, bunga 3D ini nampak lebih cantik apabila dipasang pada tudung selendang, sekali gus memberikan kelainan kepada tudung yang dipakai.


Menurutnya, pada awalnya, dia membeli corak bunga-bunga secara asing daripada pemborong dan memasangnya pada tudung.


“Dengan adanya rekaan bunga 3D memudahkannya untuk menjahit terus pada tudung.


“Bunga 3D sangat senang dipasang, mudah, jimat dan harga berpatutan,” katanya.


Hasil lebih 100 rekaan


Melihat potensi perniagaan bagi bunga 3D pada awal tahun ini, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Gerobok Adria, Aida Rohayu Azali merebut peluang dengan menjadikan ia salah satu produk keluaran syarikatnya.


“Saya bermula dengan tampalan bunga sehingga berkembang kepada bunga 3D pada tiga tahun lalu.


“Tempahan yang diterima pada Ramadan lepas sangat tinggi dan saya menjangkakan trend ini akan terus kekal sehingga hari raya tahun hadapan,” katanya yang menjalankan perniagaan di Pasir Gudang, Johor Bahru.


Menurutnya, sejak berada di pasaran pada Jun lalu, pihaknya telah menjual sehingga 3,000 set dengan harga RM12 dan boleh mencecah RM250 bagi satu set.


Menurutnya,  atas permintaan pelanggan, dia telah menghasilkan lebih 100 rekaan bunga 3D dan akan terus menghasilkan rekaan baharu bergantung kepada trend semasa keluaran pelbagai jenis bunga 3D pada masa akan datang.


Sehingga kini, Aida Rohayu mencatat jualan sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 sebulan walaupun berhadapan dengan persaingan yang sengit.


“Selain pasaran tempatan, produk kami telah berjaya memasuki pasaran Brunei, Singapura dan Indonesia menerusi jualan atas talian (online), yang mana sebanyak 80 peratus jualan kami datang daripada online dan 20 peratus lagi menerusi jualan di tapak pameran.


“Kami juga mempunyai 250 ejen dan dropship di seluruh negara serta stokis di Johor Bahru dan Kelantan,” katanya yang turut menawarkan perkhidmatan menjahit bunga 3D dalam jumlah pukal.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]