Ular tiong cincin masuk rumah

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – Seorang penghuni di Rumah Rakyat Dangi terkejut apabila ternampak seekor ular tiong cincin bersembunyi di tandas rumahnya.


Pengerusi Rumah Rakyat Dangi, Norhayati Abdullah berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 8 pagi, sebelum beliau menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Pilah.


“Ular itu ditemui di rumah barisan belakang bersebelahan ladang kelapa sawit. Sememangnya kawasan itu sering menjadi tempat ular tiong cincin mencari makan.


“Mujur masa kejadian, penduduk tak terkena patukan ular berkenaan, sebelum APM menangkap reptilia itu 10 minit kemudiannya.


“Kelmarin kes sama turut berlaku di mana penghuni di kawasan ini, turut jumpa seekor ular tiong cincin dan kali ini seekor lagi.


“Ular itu ditemui di atas pokok cempedak. Haiwan ini mendatangkan bahaya kepada penduduk dan kanak-kanak jika melalui jalan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, dek kerana kerap kali menemui reptilia itu, pokok cempedak telah diracun bagi mengurangkan risiko kehadiran haiwan tersebut.


“Bagaimanapun, ular itu turut ditemui di beberapa kawasan lain tetapi tidak sempat menangkapnya.


“Ular-ular itu berada dalam semak, dekat sungai berhampiran dan pastinya mencari lokasi selesa. Dan kita jumpa seekor di dalam tandas rumah penduduk,” katanya.


Jelasnya, penduduk di lorong belakang Rumah Rakyat Dangi dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan lebih berhati-hati sekiranya berada di luar ataupun di dalam rumah.


“Saya bimbang ular itu menyelinap masuk ke dalam rumah ataupun kawasan semak yang terlindung daripada pandangan mata kita.


“Justeru, disarankan agar kanak-kanak tidak bermain di kawasan berisiko tinggi menjadi tempat persembunyian ular tersebut.


“Jika nampak ular itu, jangan bertindak sendiri. Hubungi APM dan bomba kerana mereka lebih arif untuk menangkapnya,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]