17 rumah terjejas akibat banjir

in Edisi Pahang by


BENTONG – Hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi kelmarin mengakibatkan 17 rumah di Kampung Gemeti dan Kampung Ketari di sini, dinaiki air akibat banjir.


Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Zainal Yusoff berkata pasukan APM menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berlaku kejadian banjir kilat di Kampung Gemeti dan Kampung Ketari.


Menurutnya, walaupun banjir telah surut, namun pihaknya tetap memantau keadaan demi keselamatan penduduk.


“Hasil pemantauan mendapati hanya 17 rumah di Kampung Gementi dan Kampung Ketari terlibat. Bagaimanapun sebagai persediaan, APM akan memantau di kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku banjir di daerah ini.


“Kita juga sedang meneliti bantuan awal membabitkan pelbagai agensi seperti Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) terutamanya berkaitan bekalan makanan  kepada mangsa banjir,” katanya ketika dihubung semalam.


Dalam pada itu, Zainal berkata  banjir kilat yang berlaku melibatkan   59 mangsa namun setakat ini tiada pusat pemindahan  dibuka.


Menurutnya, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dan tiada penutupan jalan dilakukan setakat ini.


“Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) sedang memantau untuk mencari punca kejadian banjir kilat tersebut dan kita minta kepada mangsa banjir untuk membuat laporan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dapatkan maklumat mangsa dan mudah untuk diberikan bantuan.


“Bantuan kecemasan akan terus diberikan kepada mangsa-mangsa terlibat oleh agensi bertanggungjawab dan kami juga sedang mengumpulkan data maklumat rumah dan kawasan yang terjejas dalam operasi ini,” katanya.


Tambahnya, pelbagai agensi kerajaan turut terlibat dalam operasi ini antaranya polis, Majlis Perbandaran Bentong, Bomba dan Penyelamat Bentong, JKM dan Pejabat Parlimen Bentong.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]