3 warga Thailand cuba seludup petrol ditahan

in Edisi by


KOTA BHARU – Cubaan tiga lelaki warga Thailand menyeludup minyak petrol ke sempadan tidak berjaya selepas tindakan mereka berjaya dikesan dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin ICQS di Rantau Panjang di sini Isnin lalu.


Ketiga-tiga mereka ditahan dalam serbuan khas dan hasil pemeriksaan dijalankan mendapati mereka mengubah suai tangki kereta yang digunakan untuk menyeludup minyak petrol di empat stesen minyak di sekitar Rantau Panjang.


Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, kereta pertama yang ditahan merupakan jenis Proton Wira pada jam 11.40 pagi dengan muatan 114 liter minyak petrol.


“Manakala dua lagi ditahan di stesen minyak yang sama bersama dua jenis kenderaan Proton Saga.


“Masing-masing menyeludup 45 liter dan 150 liter petrol ,” katanya.  


Beliau berkata demikian dalam sidang media di stor simpanan di KPDNKK di Chica Menyabong di sini semalam.


Ab Ghani berjaya, tangki yang diubah suai di bahagian but belakang kereta itu boleh memuatkan hampir 1,000 liter petrol, yang pada kebiasaannya hanya muat dalam tangki biasa sebanyak 70 liter.


“Kesemua suspek berusia antara 40 tahun telah direman dan dituduh di mahkamah Pasir Mas pagi tadi (semalam) dan dua daripadanya didenda RM10,000 manakala seorang lagi didenda RM7,000.


“Kita dapati suspek singgah di empat stesen di kawasan yang sama dan kebiasaan modus operandi mereka mengisi hampir 100 hingga 200 liter di setiap stesen yang disinggah,” katanya.


Ab Ghani berkata, kegiatan ini sudah lama dikesan dan kebanyakan penyeludup mudah mengaut keuntungan berikutan matawang Malaysia lebih rendah berbanding Thailand.


“Kita harapkan supaya pengusaha stesen minyak memberi kerjasama bagi menangani isu ini.


“Lagipun kita hanya mengehadkan 600,000 liter jualan minyak di kawasan sempadan dan itu merupakan peraturan yang ditetapkan dalam masa sebulan di kawasan stesen-stesen minyak tersebut di sekitar 20 kilometer di kawasan sempadan,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]