Bakti Siswa untuk Rumah Permata Al Mahabbah

in Edisi Utara by


NIBONG TEBAL – Seramai 50 pelajar Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda-Tech) mengikuti program Bakti Siswa 2017 yang diadakan di Pertubuhan Permata Al Mahabbah, Kampung Bagan Buaya, semalam.


Program itu yang diadakan bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat dan mempromosikan Perda-Tech sebagai pusat kemahiran unggul di negeri ini, merupakan salah satu program khidmat masyarakat yang diadakan setiap tahun.


Timbalan Pengerusi Perda, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata, pelbagai aktiviti diadakan antaranya baik pulih pagar utama dan aktiviti pendawaian elektrik reban ayam di pusat berkenaan.


“Lima pelajar kejuruteraan elektrik dipantau pensyarah akan membaik pulih pendawaian elektrik pada reban ayam, yang mana pertubuhan ini menjana pendapatan melalui ternakan ayam.


“Selain itu, seramai 20 pelajar teknologi kimpalan akan naik taraf pagar besi tempat wuduk bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih dan memudahkan kerja penyelenggaran,” katanya selepas merasmikan program itu, petang semalam.


Turut hadir, Pengurus Besar Perda, Rosman Hashim dan Pengarah Perda-Tech, Zolkhifli Mohamed.


Selain kerja baik pulih, Perda-Tech turut menyumbangkan sebanyak 1,000 anak ayam dan makanan ayam kepada pusat berkenaan bagi menjana pendapatan mereka pada masa akan datang.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]