Bersatu cuba jadikan Umno ‘kambing hitam’

in Politik by


ALOR SETAR – Bersatu didakwa cuba menjadikan Umno sebagai ‘kambing hitam’ dalam konflik dalaman parti itu yang menyaksikan ahlinya mula hilang kepercayaan terhadap pimpinan tertinggi parti itu.


Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kegagalan pimpinan tertinggi parti itu menyelesaikan kemelut secara berterusan menyebabkan sebahagian pemimpin parti itu  meletakkan kesalahan kepada Umno, susulan sebahagian besar ahlinya kembali ke pangkuan Umno.


“Bila timbul masalah dalaman, mereka gagal atasinya, maka dikaitkan dengan Umno, konon kita yang jadi penyebab, kita yang cucuk ahli parti, sehingga ada tuduhan kita mahu ‘beli’ ahli mereka. Itu bukan kerja Umno,” katanya, selepas melancarkan program My Beutiful Neighbourhood Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), di Taman Seri Gemilang, hari ini.


Menurutnya, Bersatu harus mengakui parti itu tidak lagi kukuh seperti di awal penubuhannya, kerana kini berdepan pelbagai masalah dalaman dan kontroversi.


“Bila parti itu makin goyang, mulalah nak salahkan pihak lain, termasuk ia angkara Umno. Carilah ‘kambing hitam’ lain untuk dipersalahkan bila tak mampu atasi masalah dalaman sendiri,” katanya.


Ahmad Bashah berkata, sebagai sebuah parti baharu, Bersatu tidak memiliki struktur yang kukuh selain gagal memenuhi permintaan kalangan pemimpin peringkat bawahan, menyebabkan ramai pemimpin Bersatu meninggalkan parti itu.


“Kita dah jangka ini akan berlaku, parti itu hanya mahukan perhatian, perebutan jawatan selain mahukan kasih sayang daripada pemimpin atasan. Bila sudah dilantik jadi pemimpin peringkat bawahan yang mahukan perhatian, bila tak dapat jadi macam ni lah,” katanya.


Menurutnya, pihaknya percaya Bersatu tidak mampu menyelesaikan permasalahan dalaman sehingga berlarutan lama, selain dilihat pemimpin tertingginya seolah ‘berdiam diri’.


“Awal dulu ghairah masuk Bersatu, sekarang habis keluar di peringkat cawangan dan bahagian, sehingga pemimpin mereka pun tak boleh buat apa-apa lagi,” katanya.


 Ahmad Bashah berkata, berbanding Umno/BN yang berjaya mentadbir negara dan kekal berkuasa sejak merdeka, adalah kerana berasaskan kepada struktur parti yang kemas dan kukuh selain berpengalaman.


“Kalau struktur lemah, macam-macam boleh berlaku. Masalah dalaman parti itu bukan sahaja di peringkat pemimpin bawahan, tetapi juga di peringkat atasan yang masih belum selesai,” katanya.


Kebelakangan ini, Bersatu dilihat dilanda krisis kepimpinan apabila satu persatu pemimpinnya yang juga antara tulang belakang parti di awal penubuhannya, mula meninggalkan parti itu.


Pada 19 April lalu, bekas Setiausaha Kerja Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman mengumumkan keluar parti bersama 821 ahli parti serpihan itu di seluruh negara. Diikuti pada Ogos, 250 ahli parti itu di Dungun selain antara pengasasnya, Anina Saadudin, serta Naib Presidennya, Datuk Hamidah Othman.


Terkini, berlaku pertikaman lidah antara Hamidah dengan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa ditawarkan wang RM5 juta oleh seorang penasihat kanan kepimpinan negara untuk meninggalkan parti dan menyambung pengajiannya di Universiti Oxford.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]