Cuai jaga keselamatan harta

in Edisi by


KUALA KRAI – Tahap kesedaran orang ramai, khususnya di daerah ini untuk menggunakan kemudahan di tempat awam bagi mengelak kenderaan dicuri masih rendah.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ini kerana sepanjang tinjauan dilakukan di beberapa kawasan sekitar bandar Kuala Krai, beliau mendapati masih ramai yang tidak menitikberatkan keselamatan harta benda masing-masing.


“Kerajaan telah sediakan tempat letak motosikal untuk kemudahan parkir dan kunci di kawasan berkenaan.


“Namun saya lihat pemilik kenderaan tidak mengunci motosikal mereka dan ini memberi peluang kepada penjenayah untuk bertindak,” katanya kepada pemberita pada Program High Profile Polising Bersama Ketua Polis Kelantan.


Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Din Ahmad; Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning; Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Zulkifli Ismail dan pegawai-pegawai kanan.


Tambah Hasanuddin, beliau juga berharap anggota masyarakat dapat meningkatkan tahap kesedaran menjaga harta benda masing-masing, selain membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis.


“Jika kenderaan di parkir dikunci, kebarangkalian kenderaan terutama motosikal dikunci dicuri tipis.


“Sekiranya penjenayah cuba untuk membuka kunci, mungkin agak sukar dan mereka berkemungkinan ditangkap orang awam dan kemudiannya diserahkan kepada polis,” katanya.


Beliau berkata, trend jenayah terkini lebih menjurus kepada jenayah harta benda terutama curi kenderaan seperti motosikal dan kereta.


“Kenderaan lama berharga antara RM5,000 hingga RM7,000 sering menjadi sasaran penjenayah.


“Kita tidak menolak kemungkinan kereta serta motosikal dicuri untuk dijadikan sebagai alat ganti kenderaan,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]