Gelombang Nelayan Nasional akan jadi acara tahunan

in Nasional by


KEMAMAN – Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 yang berjaya mengumpulkan 30,000 nelayan dan keluarga dari seluruh negara akan dijadikan sebagai acara tahunan.


Perkara tersebut diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menjayakan program itu bermula tahun depan.


Menurutnya, lokasi penganjuran di Pantai Kuala Kerteh yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam disifatkan sebagai lokasi ikonik namun tidak menolak penganjurannya di lokasi-lokasi lain pada masa akan datang.


“Selain peruntukan sedia ada, sebanyak RM2 juta peruntukan untuk program tahunan ini, walaupun tiada permohonan daripada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, ia demi kepentingan nelayan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran GNN 2017 serta melihat perarakan dan himpunan hampir 1,000 buah bot nelayan, di Pantai Kuala Kerteh, di sini, hari ini.


Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.


Ahmad Zahid memberitahu bahawa pihaknya menghargai peranan nelayan yang sentiasa memberi dokongan kepada kerajaan.


Beliau turut menyifatkan nelayan memberi sumbangan besar termasuk dalam membekalkan zat penting bagi keperluan dan kesihatan rakyat serta pendapatan negara.


“Nelayan bukan merupakan wira-wira yang tidak diendah tetapi wira-wira yang tidak didendangkan yang telah memberi pendapatan kepada negara, yang telah membantu rakyat dari segi memberi protein kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.


Sementara itu, Ahmad Zahid meminta semua agensi penguatkuasa di laut meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelak kecurian hasil laut oleh nelayan asing terus berleluasa.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ini kerana negara mengalami kehilangan hasil laut sebanyak 980,000 tan metrik dengan nilai antara RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing.


Menurut beliau, dianggarkan hanya 50 peratus ikan yang ditangkap di perairan negara didaratkan di Malaysia dan selebihnya tidak dilaporkan, bermakna berlaku pencerobohan oleh nelayan asing yang mencuri hasil laut negara.


“Kita tahu hasil laut ini adalah sumber protein utama rakyat negara kita jadi kita cuba elakkan sebarang pencerobohan dari negara lain kerana ini hasil dari Malaysia jadi tidak adil kepada rakyat Malaysia.


“Sebab itu saya tekankan penguatkuasaan. Saya ingin mengingatkan kepada menteri pertanian, timbalan menteri pertanian, APMM, polis marin, tentera laut, perikanan, tangkap nelayan asing yang mencuri hasil laut,” katanya.


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]