‘Harap sangat Farhana balik’

in Edisi Selangor KL by


SUNGAI BESAR – “Makcik harap sangat Farhana balik ke rumah kami sebab dialah satu-satunya anak perempuan yang makcik ada,” demikian luah Normah Yusof, 51, selepas anaknya, Nurul Farhana Ahmad, 25, melarikan diri dipercayai bersama seorang lelaki bukan warganegara ke Medan, Indonesia, kira-kira setahun lalu.


Normah yang menetap di Parit 7, Sekinchan berkata, kehilangan anak keempat daripada lima beradik itu amat dirasai seluruh ahli keluarganya.


Malah katanya, mereka sekeluarga tetap menerima Nurul Farhana dengan hati terbuka walau apa pun yang berlaku.


“Macam mana pun, dia tetap anak makcik. Kami tak kisah apa statusnya masa sekarang sama ada dah berkahwin atau mempunyai anak. Perkara dah lepas, usah dikenang dan kami harap Farhana dapat pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.


Ibu tunggal itu memberitahu, kehilangan Nurul Farhana memberi kesan mendalam terhadap dirinya yang kematian suami pada 12 September tahun lalu.


Katanya pemergian suami, Ahmad Abdullah Sani, akibat serangan jantung pada sambutan hari pertama Raya Aidiladha meninggalkan kesan amat mendalam.


“Buat pertama kalinya, makcik beraya tanpa dua insan tersayang. Harap sangat, Farhana dapat pulang dan mohon kerajaan bantu,” katanya sambil memberitahu dia sudah beberapa kali berhubung dengan Nurul Farhana dan kali terakhir tiga hari lalu.


“Alhamdulillah, saya dapat bercakap dengan Farhana menerusi panggilan telefon. Dia harap sangat balik ke Malaysia, cuma kos agak tinggi. Saya rayu kerajaan dapat bantu,” katanya.


Rintihan ibu ini dapat perhatian Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.


Budiman berkata, beliau hadir ke Balai Polis Sungai Besar kira-kira jam 11 pagi semalam bagi membuat laporan polis berhubung kehilangan Nurul Farhana.


“Saya difahamkan wanita ini telah menghilangkan diri bersama seorang lelaki dikenali sebagai Andika pada tahun lalu. Maklumat terkini diterima setakat hari ini (semalam) dia berada di Medan Indonesia,” katanya.


Justeru katanya, pihaknya akan memaklumkan perkara itu kepada  kedutaan Malaysia di Jakarta.


“Jika benar dia berada di Medan, konsul kita di Medan akan bantu. Kita akan bawa perkara ini secepat mungkin,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]