Jangan terperangkap idea tular media sosial

in Edisi by


KOTA BHARU – Rakyat termasuk ulama dan pelajar pondok diminta tidak mudah terperangkap dengan idea-idea dan pandangan tidak berasas yang tular di media sosial.


Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, menjadi ‘trend’ masa kini, banyak maklumat mudah tersebar di laman sosial yang tiada batas sedangkan, perkara itu perlu diberi tumpuan sebaik-baiknya.


“Kita bimbang dengan maklumat yang disebar luas pandangannya secara salah. Sesiapapun boleh memiliki alat media untuk diakses sebanyak mungkin, tetapi kita perlu berhati-hati dengan idea yang boleh memerangkap kita secara liberal.


“Kita menghormati pandangan dan teguran daripada alim ulama yang mengetengahkan idea dan pandangan mereka untuk dimanfaatkan ilmu kepada orang lain,” katanya semasa merasmikan Ijtimak Pondok Se-Malaysia di Pondok Pasir Tumboh, hari ini.


Sementara itu, Pengerusi Jemaah Tarbiah Pondok Pasir Tumboh, Abdul Halim Derani meminta kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memudahkan urusan pendawaian elektrik di pondok-pondok.


“Kita mahu permohonan untuk menambah meter tambahan elektrik diberi tunjuk ajar terutama dari segi keselamatan bagi pendawaian sendiri atau peribadi bagi mengelak berulangnya masalah kebakaran di pondok.


“Setakat ini, bomba memberikan kerjasama mengenai keselamatan dan pendedahan litar pintas, namun berdasarkan pengalaman dua kali kebakaran di pondok ini, ia berpunca daripada api dapur,” katanya.


 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]