Juruterbang maut pesawat ringan terhempas

in Semasa by


JASIN – Seorang juruterbang maut manakala pembantunya cedera apabila pesawat ringan GT 500 dikendali mereka terhempas ke dalam Sungai Mati di sempadan antara Melaka dan Johor di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa Yen Yoon Fah, 54, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohd. Shahrul Shafiri, 35, cedera di muka dan tangan dihantar ke Hospital Muar untuk mendapatkan rawatan.


Difahamkan, ketika kejadian, pesawat terbabit sedang melakukan ujian untuk mendapatkan permit penerbangan Jabatan Penerbangan Awam dan terhempas ketika berlepas kira-kira 200 meter dari hujung landasan Aerodrome, Sungai Rambai.

Pembantu juruterbang yang terselamat diberikan rawatan kerana mengalami kecederaan.


Timbalan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) Melaka, Kamarulzaman Mohd. Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11. 53 pagi dan tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.


“Setiba di tempat kejadian didapati sebuah pesawat ringan terhempas dalam keadaan terbalik di dalam sungai dan terdapat seorang mangsa berjaya keluar dari pesawat dan terbaring di tebing sungai.


“Hasil maklumat dari mangsa, pihak kami membuat pencarian seorang jurutera yang terperangkap dan berjaya dikeluarkan selepas 15 minit, namun disahkan telah meninggal dunia dipercayai lemas,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]