Lang Merah tagih sokongan padu di Jengka

in Sukan by


SOKONGAN padu daripada penyokong diperlukan oleh Kedah pada separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017 bertemu Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang malam esok.


Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata, kehadiran penyokong Lang Merah mampu menyemarakkan lagi semangat pasukan itu di dalam usaha untuk memburu bekalan gol di laman lawan.


Menurutnya, beliau yakin dengan pencaturan Ketua Jurulatihnya, Mohd Nidzam Adzha Yusof dalam usaha untuk memburu kelebihan ke atas The Fighters walaupun sedar ia bukan satu tugas yang mudah.


“Kita akan bermain habis-habisan pada perlawanan tersebut seperti yang saya cakap kepada pemain pada pertemuan sebelum ini.


“Saya minta semua peminat hadir di Jengka malam esok dan memberikan sokongan padu kepada pemain sehingga minit-minit terakhir menghadapi Felda United,” katanya ketika ditemui di Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah di SMK Mergong.


Aminuddin berkata, beliau mengharapkan keputusan sekurang-kurangnya seri dengan jaringan di laman lawan mampu dilakukan sebelum aksi timbal balik kedua di Stadium Darul Aman pada 21 Oktober depan.


Katanya, beliau yakin Kedah mampu mara ke peringkat akhir sekaligus mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia yang disandang mereka musim lalu.


“Beberapa keputusan perlawanan sebelum ini yang tidak berpihak kepada Hijau Kuning tidak boleh dijadikan ukuran semasa buat pasukan ini kerana beraksi di peringkat separuh akhir seperti Piala Malaysia merupakan pentas berbeza,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]