PM umum kelulusan bina sekolah baharu

in Nasional by


KUALA SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kelulusan pembinaan sebuah lagi sekolah menengah bagi menampung kapasiti pelajar di kawasan Saujana Utama, di sini.


Najib berkata, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama 2 yang bernilai RM57.6 juta itu kini dalam proses tender oleh Kementerian Pendidikan.


Katanya, pembinaannya merangkumi 42 bilik darjah dan fasiliti lain.


“Ini maknanya apa saya janji dalam lawatan saya sebelum ini adalah janji ditepati,” katanya dalam pengumuman ringkas ketika berucap pada pelancaran program Strategi Lautan Biru Kebangsaan My Beautiful Neighbourhood (NBOS MyBN) di sini, hari ini.


Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.


Sementara itu, Irmohizam ketika ditemui Bernama berkata, sekolah berkenaan telah dijanjikan Perdana Menteri ketika lawatannya pada tahun 2013.


Beliau berkata, pembinaan sekolah baharu itu susulan permintaan penduduk setempat dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana 1, di sini.


“Setelah dipertimbangkan pihak kerajaan dan Unit Perancang Ekonomi, Perdana Menteri datang hari ini menunaikan permintaan mereka. Ini bukan lagi omong kosong tapi kenyataan dan merupakan berita gembira bagi penduduk di sini,” katanya.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]