Polis Tampin tangkap tahanan lokap IPD Segamat lolos

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


TAMPIN – Dua anggota Balai Polis Ayer Kuning Selatan, di sini, cedera semasa bergelut bagi menangkap seorang lelaki yang merupakan tahanan lokap IPD Segamat, yang lolos sejak pagi Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Hamazah Ab Razak berkata, polis menerima makluman dari orang awam yang menyatakan suspek berusia 38 tahun yang merupakan pesalah bagi kes dadah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 berada di rumah kenalannya di Felda Bukit Jalor kira-kira jam 1.55 petang.


Menurutnya, tiga anggota yang bertugas dalam Ronda Cegah Jenayah segera ke lokasi yang dimaklumkan orang awam bagi membuat pemeriksaan.


“Setibanya di lokasi, polis telah memperkenalkan diri dan seorang lelaki iaitu suspek yang sedang berbaring di ruang tamu rumah cuba melarikan diri.


“Dalam cubaan melarikan diri itu, dua anggota polis bergelut dengan suspek dan berjaya mengari suspek sehingga membawanya keluar di hadapan rumah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini.


“Bagaimanapun, suspek sekali lagi¬† cuba melarikan diri ke arah kawasan belakang rumah, namun, berjaya ditangkap polis.


Hamazah berkata, salah seorang anggota melecet di tangan kanan akibat digigit suspek dan mengalami sakit di belakang kepala.


Manakala menurutnya, seorang lagi anggota polis cedera di paha sebelah kanan, kedua-dua tangan, serta luka akibat digigit suspek


“Kedua-dua anggota yang terlibat kemudian telah mendapatkan rawatan di Hospital Tampin.


“Sementara, suspek pula telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Segamat dan OKT telah dibawa balik ke Segamat.


 



Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]