'Tidak perlu hingga adakan pesta minum arak'

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Masyarakat Islam di negara ini tidak melarang orang bukan Islam meminum arak kerana ia adalah hak individu dan budaya mereka.


Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, dibolehkan bukan Islam meminum arak selagi perbuatan itu tidak mengganggu orang lain.


“Boleh minum arak tetapi tidak perlulah hingga menganjurkan pesta. Sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kerajaan beri kebebasan kepada semua kaum dan agama untuk merayakan perayaan serta amalan budaya mereka.


“Kita ketepikan sekejap tentang isu sensitiviti agama dan politik dalam hal ini, dan lihat secara umum.


“Kita sedia maklum bahawa minuman keras itu membahayakan kesihatan dan memberi kesan yang buruk kepada masyarakat dan negara, jadi wajarkah kita membenarkan pesta sebegini diadakan dalam komuniti masyarakat Malaysia?,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Menurutnya, penganjuran pesta arak boleh menjejaskan imej negara yang menekankan agama Islam merupakan agama Persekutuan.


“Kita perlu menjaga dan menitikberatkan tentang sensiviti kaum atau agama lain dan menghormati cara hidup satu sama lain supaya hal seperti ini tidak berlaku lagi.


“Kepada pihak dan individu yang beriya-iya untuk menganjurkannya (pesta arak), saya nasihatkan agar kembalilah kepada prinsip Rukun Negara,” katanya.


Justeru beliau berharap tiada lagi penganjuran pesta seumpama itu yang boleh menimbulkan sensitiviti kaum pada masa akan datang kerana ia boleh menjejaskan solidariti dan keharmonian negara.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]