Tiga beranak ditahan mengemis

in Edisi Terengganu by


DUNGUN – Dua beradik berusia lima dan lapan tahun bersama ibu mereka antara pengemis yang diselamatkan menerusi operasi bersepadu digerakkan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Dungun di beberapa lokasi di sini, kelmarin.


Dalam operasi dijalankan dengan usahasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat agama, pejabat kesihatan, pejabat pendidikan, Pejabat Daerah Dungun, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majistret Dungun dan beberapa pihak lagi berjaya menahan seramai 10 pengemis berusia 5 hingga 83 tahun.


Pegawai PKMD, Mohd Naufal Yusoff berkata, beberapa lokasi disasarkan dalam operasi itu iaitu di Kuala Dungun, Sura Gate, kawasan perniagaan, Dura Hujung dan sekitar Paka.


“Dalam operasi bermula jam 4.30 petang hingga 9 malam itu, petugas dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk membuat serbuan di lokasi berasingan.


“Hasil operasi yang berlangsung selama beberapa jam itu berjaya menahan 10 pengemis,” katanya.


Beliau berkata, kesemua yang ditahan dikenakan tindakan mengikut kesesuaian dan pihak berkuasa tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas sekiranya mereka masih mengulangi kesalahan sama.


“Dua beradik yang kedua-duanya lelaki ditahan bersama ibu mereka berusia 38 tahun selain seorang remaja perempuan tidak bersekolah berusia 14 tahun .


“Keempat-empat mereka dipercayai berselindung di sebalik kegiatan berniaga secara kecil-kecilan untuk menagih simpati orang awam,” katanya.


Menurutnya, kesemua mereka diberikan amaran dan kegiatan selepas ini akan dipantau.


“Seorang lagi yang ditahan diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut, manakala seorang warga emas berusia 83 tahun diselamatkan dan dihantar ke Pusat sehenti Bina diri (PSBD) di bawah JKM sebelum dihantar ke rumah seri kenangan, Kelantan.


“Manakala empat lagi dihantar kepada keluarga masing-masing. Operasi diadakan secara berkala dan kita memandang serius gejala seperti ini bagi mewujudkan masyarakat lebih harmoni,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]