49 individu ditahan dalam Ops Pusat Hiburan

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Beroperasi lebih masa dan membenarkan pelanggan di bawah umur masuk berhibur.


Itu kesalahan dikesan dalam Ops Pusat Hiburan dijalankan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di Jalan P Ramlee dan Jalan Pudu, di sini, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sukri Kaman berkata, serbuan bermula jam 3.30 pagi itu menahan seramai 49 individu membabitkan pengurus, pekerja dan pelanggan premis terbabit.


“Rata-rata pelanggan berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun. Penahanan turut membabitkan empat pelanggan warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan telah tamat tempoh,” katanya.


Beliau berkata, pemeriksaan mendapati pusat hiburan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 27 dan Peraturan 30 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Wilayah Persekutuan dimana telah beroperasi lebih masa dan membenarkan pengunjung bawah umur masuk ke pusat hiburan.


Katanya, operasi sedemikian akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membendung gejala khususnya membabitkan remaja bawah umur.


“Kita memandang serius perkara yang menyalahi undang-undang yang ditetapkan dan sekiranya masih ada premis yang berdegil, tindakan tegas akan dikenakan,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]