‘Anak kecilku ditembak tentera Myanmar'

in Nasional by


“ALLAHUAKBAR. . . ! ! ! Jamalidaaaaaa anakku…” Dunia bagaikan menghempap ke wajah Mohd Syukur Abdullah, 25, tatkala melihat tubuh kecil anaknya rebah ke bumi selepas ditembak tentera Myanmar di depan matanya!


Baru sebentar tadi dia mendengar hilai tawa anaknya yang baru menginjak usia lima tahun itu bermain dengan rakan-rakannya.


Baru sebentar anak kecil itu melirik pandangan comel ke arah bapanya. Kejam! Walaupun sudah dua tahun berlalu, peristiwa itu sering membuatkan Mohd Syukur tidak keruan, resah dan pilu.


Mengimbas kembali peristiwa yang benarbenar meninggalkan kesan mendalam baginya, Mohd Syukur berkata, sehingga kini peristiwa itu begitu berbekas di hatinya dan sukar untuk dilupakan.


Peristiwa berdarah itu mengajarnya banyak perkara, lebih-lebih lagi mengenai kekejaman tentera Myanmar terhadap bangsanya.


“Rumah saya dan jiran-jiran dibakar. Mereka (tentera Myanmar) datang tanpa memberi sebarang isyarat dan terus melepaskan tembakan tanpa mengenal mangsa,” katanya sayu kepada Sinar Harian.


Menurutnya, dalam serangan tentera Myanmar terhadap kampungnya di Rothidong, Myanmar, telah menyaksikan kampungnya itu lumpuh selepas penduduknya ditembak dan rumah serta ternakan mereka dibakar tanpa belas kasihan.


Mujurlah katanya, dia sempat menyelamatkan diri bersama isteri dan seorang lagi anaknya yang kini berusia dua tahun untuk ‘berlari’ mencari tempat berteduh.


“Saya terpaksa pergi untuk menyelamatkan lagi seorang anak dan isteri saya,” katanya yang kini menetap di kem pelarian Balukhali, Bangladesh.


Sementara itu, mengimbas mengenai perjalanannya ke kem berkenaan, katanya, laluan perjalanannya sangat mencabar.


Menurutnya, dia bersama keluarganya terpaksa menempuh perjalanan panjang selama 10 hari dengan berjalan kaki sebelum tiba di Kem Pelarian Balukhali.


“Sangat perit, lapar dan dahaga sepanjang perjalanan , selain tidak pasti adakah kami akan selamat tiba,” katanya.


Menurutnya, sepanjang 10 hari perjalanannya itu, adakala dia dan keluarga seperti putus harapan untuk meneruskan perjalanan.


“Hidup seperti kosong selepas melihat satu persatu kejadian perit di bumi sendiri (Myanmar).


“Anak ditembak tanpa belas kasihan dan kami diperlakukan seperti binatang,” ujarnya.


Mujurlah katanya, isteri dan anaknya itu menjadi kekuatannya untuk meneruskan hidup.


“Kami tiba selepas 10 hari dalam keadaan sehelai sepinggang. Mujurlah saudara di sekeliling kem ini beri bantuan,” ujarnya.


Kini katanya, dia fokus untuk membantu rakan-rakan sebangsanya agar terus kuat bagi  meneruskan hidup walaupun belum pasti adakah hidup mereka masih ada cahaya di hujungnya nanti.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]