Bison sekat kebangkitan Tigris

in Sukan by


PERAK Bison merakam kemenangan dramatik 2-1 ke atas Johor Tigris dalam aksi minggu ketiga Sepak Takraw League (STL) Divisyen Premier yang berlangsung di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Jumaat lalu.


Mempertaruhkan gandingan Zulfikar Mat Amin, Izham Idris dan Amirul Ramdhan Suhaimi, Perak yang juga juara Divisyen 1 musim lalu menang set pertama 21-16.


Namun, trio Johor Yazmee Yazdan, Lutfil Hadi Azmi dan Zamree Dahan bangkit mengikat kedudukan apabila memenangi set kedua 21-17.


Perak bimbingan Ismi Hissan Ismail bagaimanapun mengesahkan kemenangan 22-20 di set penentuan.


“Di peringkat awal semuanya lancar kerana walaupun Amirul pemain paling muda baru berusia 17 tahun, tetapi keyakinannya cukup bagus. Jadi apabila kita masukkan killer kedua (Fadzil Mustafa), kita sedikit bergelut.


“Fadzil pemain bagus, pemain kebangsaan cuma pergelangan tangannya masih belum pulih selepas mengalami kemalangan jadi itu yang menyebabkan kita tidak begitu mengancam,” ujar Ismi.  


Tambah Ismi, pasukannya amat mendambakan kemenangan pada pertemuan tersebut bagi mencerahkan peluang berada di kedudukan tiga terbaik.


Kemenangan ini adalah yang ketiga buat Perak Bison manakala bagi Johor Tigris, ia adalah kekalahan keempat berturut-turut.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]