Kerajaan BN kekal bantu rakyat tanpa mengira kaum

in Politik by


ARAU – Kaum India di negara ini akan terus dibantu walaupun mereka hanya kaum minoriti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.


Penglibatan kaum India dalam kerajaan telah dibuktikan melalui parti MIC yang mana menteri, timbalan menteri dan speaker hadir dari kalangan mereka, kata Shahidan.


“Kaum India di negara ini terutamanya yang menyokong BN walaupun sebagai kaum minoriti dan melalui parti komponen MIC yang memenangi tiga kerusi Parlimen pada pilihan raya lepas, kerajaan telah memberikan lima jawatan dalam kerajaan termasuk menteri, timbalan menteri dan speaker,”kata Shahidan.


Shahidan yang ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2017 Parlimen Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah,di sini petang tadi.


Menteri dari MIC ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan  timbalan  menteri  iaitu  Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana  Menteri  Datuk Seri S K Devamany dan Yang Dipertua Dewan Negara  Datuk S A Vigneswaran.


Beliau juga berkata, kerajaan sekarang telah berjaya membantu rakyat tidak mengira kaum dan agama serta turut berjiwa rakyat dengan memberikan pelbagai bantuan dan kemudahan di seluruh negara.


Dalam pada itu, Shahidan yang juga Pengerusi Umno Perlis berkata, beliau akan terus berusaha membantu rakyat kerana beliau juga seorang menteri kepada semua rakyat.


Selain itu, beliau berkata , dua kerusi Dun, iaitu  Sanglang dan Indera Kayangan yang menjadi milik pembangkang akan ditawan kembali pada pilihan raya akan datang supaya BN akan memenangi kesemua 15 kerusi Dun termasuk tiga kerusi parlimen sedia ada, di negeri ini.


Turut hadir, Pengerusi MIC Perlis, S.Vengadasamy. –Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]