Malu periksa punca wanita tanggung derita

in Nasional by


KOTA BHARU – Fobia dan malu kepada doktor antara faktor yang dikenalpasti menyebabkan wanita di negeri ini menanggung derita menghidap kanser rahim (serviks) di awal usia 30-an.


Situasi ini dimaklumkan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pakar Perdana, Dr Zanariah Jaafar berdasarkan pengalamannya sepanjang lebih 20 tahun beliau terlibat dalam bidang tersebut.


Dr Zanariah berkata, selain faktor itu juga didapati wanita berkahwin juga tidak mahu menjalankan pemeriksaan pap smear di peringkat awal kerana takut untuk menerima hakikat bahawa rahim mereka sudah rosak.


“Mengapa saya perlu kekeng dan tunjuk alat sulit saya kepada doktor? Pemikiran beginilah sukar kita atasi. Akhirnya mereka menderita sehingga tidak dapat diselamatkan dan sudah ada yang meninggal dunia disebabkan penyakit ini.


“Mereka juga takut bila buat pemeriksaan doktor memberitahu  mereka kena jalani rawatan dan dikesan ada penyakit-penyakit lain. Sedangkan bila dikesan di peringkat awal mereka boleh menyelamatkan diri sendiri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.


Beliau antara penceramah yang dijemput pada Seminar Kesihatan Wanita sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2017 anjuran Hospital Pakar Perdana di sini.


Dr Zanariah berkata, sewajarnya wanita di luar sana sedar bahawa pengesanan di peringkat awal dapat menyelamatkan keadaan dan mengetahui proses merawat setelah sakit perlu melalui banyak peringkat.


“Apa yang berlaku, ada yang datang kepada kita bila kemaluan sudah berbau, berdarah, ada juga sudah teruk sehingga sakit tahap empat dan peluang untuk rawatan mungkin tipis,” katanya.


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]