Pemuda maut motosikal terperosok bawah treler

in Edisi by


JELI – Seorang pemuda maut apabila motosikal ditunggangnya terperosok ke bawah treler berhampiran stesen minyak di Cheduk di sini, semalam.


Dalam kejadian kira- kira jam 6.30 petang itu, Mohd Afizi Ahmad Hamdan, 22, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ayer Lanas.


Difahamkan, mangsa bersiar- siar bersama dua rakannya, , Mohd Aizuddin Mat Zin, 27 dan Muhammad Azizi Nazmi Hakim Mohd Nadzir, 21.


Mohd Aizuddin berkata, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang dari arah Bukit Bunga menghala ke Ayer Lanas dikatakan bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan yang ingin memasuki stesen minyak berkenaan.


“Pertembungan itu menyebabkan motosikal ditunggangi Mohd Afizi gagal dikawal sebelum terperosok ke bawah treler yang  dipercayai berhenti untuk mengisi minyak.


“Saya bersama Muhammad Nazmi Hakim ketika itu mengekori arwah dari belakang dan kejadian berlaku begitu cepat.


“Pada mulanya saya sangkakan treler berkenan yang keluarkan asap, sebelum dimaklumkan oleh Muhammad Nazri tentang keadaan Mohd Afizi di bawah treler itu, ” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Ayer Lanas di sini, semalam.

Motosikal Mohd Afizi terperosok di bawah treler.


Mohd Aizuddin yang juga rakan karib mangsa berkata, sejak beberapa hari lalu Mohd Afizi banyak menunjukkan perubahan sikap termasuk begitu teringin untuk bekerja.


“Dia suarakan untuk buat pendawaian elektrik bersama saya, dan mula kerja sejak dua hari lalu. Arwah nampak amat gembira dapat bekerja, ” katanya.


Menurutnya, tindakan terakhir Mohd Afizi yang meninggalkan pesan kepada seorang rakannya supaya berbakti kepada kedua ibu bapa benar- benar menyentuh perasaan Mohd Aizuddin.


Katanya, sebelum keluar bersiar- siar mereka minum bersama dan ketika itu Mohd Afizi sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada rakannya yang bekerja di negeri lain.


Menurutnya, arwah mengingatkan rakannya itu agar sentiasa memberikan wang perbelanjaan kepada ibu bapanya kerana dia sendiri tidak sempat untuk melakukannya.


“Kebelakangan ini juga arwah kerap sebut aku tak dan dah. Tak sangka ia sebenarnya sudah beri tanda buat kita, namun tak ada siapa yang sedar,” katanya.


Sementara itu, abang ipar mangsa, Zulkarnain Ismail, 44 berkata, arwah yang baru menamatkan pengajian di Pusat GiatMara Jeli banyak menunjukkan perubahan sejak beberapa hari kebelakangan ini.


Katanya, menurut jiran mereka Mohd Afizi dilihat begitu sibuk dan dalam kekalutan sejak beberapa hari lalu sedangkan sebelum ini dia seorang yang tenang dan sentiasa menyenangkan orang lain.


“Arwah tinggal bersama saya dan isteri di rumah peninggalan ibu bapa mereka. Saya dan isteri ambil tanggungjawab menjaganya kerana hanya kami yang ada di sini, ” katanya yang mengakui begitu terasa dengan pemergian Mohd Afizi.


Menurutnya, Mohd Afizi seorang yang peramah, ceria, mudah dibawa berbincang dan disenangi rakan serta jiran tetangga.


Jenazah Mohd Afizi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gemang pada kira- kira jam 11 pagi ini.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]