Pengusaha pusat hiburan ditahan miliki dadah

in Edisi Sabah Sarawak by


SIBU – Seorang pengusaha pusat hiburan adalah antara tiga orang yang ditahan polis di tiga lokasi berasingan di sini semalam kerana memiliki dadah.


Polis menjumpai paket berisi serbuk putih seberat 0.28g dan serbuk biru seberat 0.30g dipercayai ketamine di dalam poket kanan seluar lelaki itu semasa pemeriksaan di premis terletak di Jalan Brooke Drive pada 11.30 malam.


Polis turut menjumpai empat biji pil seberat 1.11g yang dibungkus dengan kerajang timah merah/perak dengan label tertera Eramin 5, dan paket plastik lutsinar mengandungi sebiji pil biru serta sebiji pil jingga disyaki Ecstacy seberat 0.81g.


“Kami syak pengusaha terbabit, berumur lingkungan 50-an, membekalkan dadah itu kepada pengunjung ke premisnya,” kata Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zailanni Amit hari ini.


Dalam kes berasingan, seorang penganggur berusia 24 tahun ditahan kira-kira 8.20 malam di Lorong Tiong Hua kerana memiliki dua paket plastik berisi bahan disyaki syabu seberat 0.57g.


“Lelaki itu ditahan di Foochow Lane dan ketika anggota polis cuba melakukan pemeriksaan, dia tiba-tiba melarikan diri sambil mencampakkan beg sandang yang dibawanya. Anggota polis yang mengejar berjaya menahan suspek di Lorong Tiong Hua,” katanya.


Sementara itu, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Seduan Lane, Jalan Nang Sang kira-kira 4.40 petang, dan polis menjumpai satu paket plastik berisi bahan disyaki syabu seberat 0.41g di atas sebuah meja kecil berhampiran tilamnya.


Zailanni berkata ketiga-tiga suspek direman tiga hari. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]