Polis tahan dua beradik geng pecah rumah

in Edisi Utara by


KUALA NERANG – Polis menahan dua beradik dipercayai terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar daerah Padang Terap dan Kota Setar dalam operasi dijalankan di sebuah kampung di Mukim Kurong Hitam, di sini, pada 5 Oktober lalu.


Ketua Polis Daerah Kuala Nerang  Deputi Superintendan Noh Idris berkata suspek berumur 38 dan 39 tahun itu di tahan  dalam serbuan di rumah suspek pada kira-kira 4.30 pagi.


“Polis menemukan pelbagai barangan seperti  seunit pam air, seunit mesin pemotong rumput, empat unit tong gas, seunit komputer riba, satu set teater rumah  dan decoder Astro di rumah suspek yang kesemuanya bernilai lebih RM10,000. Kesemua barangan itu dilaporkan hilang di sekitar Kuala Nerang dan Langgar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Katanya ujian urin mendapati kedua-dua suspek negatif  dadah dan menurutnya barangan curi itu untuk dijual kepada individu tertentu.


Noh berkata polis turut memberkas seorang pembekal (tokan) dadah berumur 49 tahun di Jalan Kampung Sungai Siput, Naka kira-kira pukul 11.30 pagi kerana dipercayai  mengedar dadah di sekitar Felda Lubuk Merbau, di sini pada 10 Oktober lalu.


​​​​​​​Hasil pemeriksaan di dalam beg pinggang dipakai lelaki itu, polis menemukan empat paket berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah heroin seberat 153.82 gram dan empat paket  berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu seberat 68.44 gram, katanya.


Katanya, suspek yang dikenali dengan nama panggilan “Tupai” mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan kes curi kenderaan dan ujian urin mendapati dia positif dadah morfin.


“Suspek juga dipercayai perancang utama dalam kes menculik seorang kanak-kanak dan mencuri kenderaan di sebuah  stesen minyak d Tanah Merah, Jitra pada 3 Oktober lalu,” katanya.


Suspek direman tujuh hari bermula 11 Oktober dan kes disiasat  mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya. –Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]