Shahrir yakin masa depan FGV

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Kepimpinan baharu diyakini mampu membawa Kumpulan Felda Global Ventures Holdings (FGV) lebih fokus sebagai entiti perniagaan berorientasikan keuntungan.


Keyakinan itu disuarakan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad ke atas Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad.


Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut berharap Azhar dan Zakaria mempunyai masa mencukupi untuk memastikan pelan penstrukturan semula organisasi mampu memberi kesan ke atas FGV.


Menurutnya, beliau tidak melihat sebarang masalah kerana Zakaria juga bekerjasama dengan Azhar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perladangan dan perakaunan.


“Sekarang, apa yang lebih penting bagi mereka adalah selesaikan semuanya, menurunkan kos operasi dan membawa keuntungan. Penting untuk FGV menjadi entiti perniagaan, bukannya entiti politik.


“Seperti saya kata, Felda seperti bapa dan FGV sebagai anak. Kita beri perniagaan kepada FGV untuk dijalankan. Sudah tentu kita mahu ia dilaksanakan dengan baik.


“Saya percaya perkara buruk sudah berlalu. Datuk Zakaria akan dibantu seorang pengerusi yang memahami akan perniagaan (dijalankan),” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Hari Deepavali di Dewan Raya PPR Sri Stulang, di sini semalam.


Shahrir mengulas mengenai Zakaria yang kembali bertugas hari ini.


Pada 6 Jun lalu, Zakaria digantung bersama tiga lagi pegawai bagi membolehkan siasatan dijalankan membabitkan isu hutan Safitex Trading LLC.


Dalam perkembangan lain, Shahrir berkata, Felda akan membantu semua pekebun kecilnya dalam usaha bersiap siaga sebelum pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dilaksanakan berkuat kuasa 31 Disember 2019.


“Jadi kita rasa perkara ini tak  jadi masalah. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pun turut membantu (Felda) bersama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) supaya kita dapat laksanakan (MSPO) sebelum tarikh tamatnya,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]