SMK Sri Mersing, English College juara ragbi

in Sukan by


PASUKAN ragbi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mersing dan English College (EC) masing-masing muncul juara Kejohanan Ragbi Jemputan 10 Sebelah SMSJ-SVRC 2017 (SAJOHA 10s) bagi kategori U16 dan U14 yang berlangsung baru-baru ini.


Dalam perlawanan akhir saingan U16, SMK Sri Mersing berjaya mengatasi cabaran daripada SMK Tun Ismail dengan mata sebanyak 24-5. Pasukan Bengal FC dari Klang pula muncul pemenang plate setelah menewaskan Kota Betel RC 17-0 manakala bowl menjadi milik Cobraz Muar yang mengatasi KV Rompin 10-0.


Bagi saingan U14 pula, EC dari Johor Bharu menghampakan harapan tuan rumah, SM Sains Johor dengan kemenangan 24-0 untuk bergelar juara. Pasukan SM Sains Batu PahatĀ  muncul juara plate setelah mengatasi tentangan sengit Bengal RC dengan mata 5-0 dan pasukan SM Sains Sembrong membenam cabaran SMK Setia Alam dari Selangor 10-0 untuk muncul pemenang bowl.


Aksi kategori veteran pula menyaksikan Sajoha Legends berada dalam kelas tersendiri apabila mencatat kejuaraan hatrik setelah muncul juara kali ketiga berturut-turut. Sajoha Legends menepati ramalan apabila menewaskan Storm RC 7-0 diperingkat akhir manakala Kota Betel Otai muncul pemenang plate setelah membenam cabaran pasukan KRC 10-5.


Sementara itu, Presiden Kelab Ragbi Sajoha Viking (SVRC), Dupa Waja Desa Ariffin melahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat sepanjang kejohanan edisi ketiga berkenaan yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan SM Sains Johor selaku tuan rumah.


“Tidak lupa kepada penaja-penaja kejohanan iaitu MyRugbygarden, Embroidery Zone, Mentor Solution & Resources Sdn Bhd, Carisbrook Malaysia, F&N Beverages Marketing serta individu-individu lain yang terlibat.


“SVRC turut merancang penganjuran lebih meriah untuk edisi tahun hadapan dengan memperkenalkan saingan kategori Ragbi Rimau (U12) dan Touch Ladies selain saingan kategori kelab.


“Bagi merealisasikan penganjuran akan datang, pihak kelab juga mengalu-alukan tajaan daripada pelbagai pihak yang berminat termasuk menjalinkan kerjasama,” katanya.


Kepada yang berminat untuk menaja boleh menghubungi Setiausaha SVRC, Rosli Badron di talian 013-2413500 atau Exco Tajaan SVRC, Hirmazali Abdul Samad di talian 019-2146432.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]