Basmi rasuah, utamakan ajaran nilai hidup, agama

in Nasional by


SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa nilai ajaran sivik serta agama wajar diterapkan dalam usaha membasmi rasuah di negara ini.


Menurutnya, isu rasuah ini berleluasa berikutan kurang rasa malu dalam diri.


“Jenayah rasuah tidak akan berlaku jika ia sudah diterapkan dari kecil tentang ajaran tersebut, sebab itu kena terapkan budaya nilai hidup supaya masyarakat lebih berintegriti.


“Kita lihat, ada negara yang sifar rasuah sebab masyarakat mereka hargai diri sendiri, rasa malu jika terlibat dengan rasuah.


“Berbeza pula dengan negara kita apabila ada orang yang terang-terangan melakukan rasuah namun masih mampu tersenyum,” katanya ketika Sesi Soal Jawab Live di Facebook Bicara Wawasan 2020 ‘Agenda Perangi Rasuah’, hari ini.


Sementara itu, beliau turut mengatakan masyarakat harus disemai ‘nilai hidup’ ini sebelum ditekankan mengenai kepentingan pendidikan.


“Ilmu sendiri kadang-kadang tidak bawa kebaikan sebab ia boleh membawa kepada keburukan seseorang, berbeza kalau kita semai nilai-nilai hidup yang lebih baik maka mereka akan kuasai ilmu dan gunakan dengan cara yang baik.


“Sama juga dengan ajaran Islam di mana ia menekankan nilai hidup yang mulia seperti yang tertulis dalam al-Quran, buat apa kita solat, menunaikan zakat, berpuasa kalau amanah kita tidak jaga?” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]