Beg tangan dilarikan empat beranak

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Seorang pemilik restoran di Bandar Laguna Merbok mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas beg tangan miliknya  termasuk wang tunai dan barang kemas dipercayai dilarikan empat beranak yang berpura-pura sebagai pelanggan.


Mangsa, Shahalini Mohamad Yusoff, 46, mendakwa, suspek terdiri daripada seorang wanita dan tiga anak masuk ke restoran miliknya kira-kira jam 4.23 petang 9 Oktober lalu untuk memesan empat bungkus minuman.


Anak lelaki suspek kemudian dipercayai dengan sengaja menjatuhkan kotak minuman yang sedang dibawa, di hadapan kaunter duit seterusnya cuba mengangkat semula tetapi tidak diizinkan mangsa kerana berdekatan dengan tempat simpan beg tangan walaupun dalam keadaan bertutup.


Bagaimanapun, salah seorang anak perempuan suspek memesan dua lagi minuman seolah-olah mahu mangsa meninggalkan kaunter.


“Saya terpaksa keluar dari kaunter untuk memberitahu pekerja tetapi selepas saya ke hadapan semula, mereka sudah beredar.


“15 minit kemudian, baharu saya sedar pintu kaunter tempat simpan beg tangan terbuka dan beg sudahpun dilarikan.


“Dalam masa sama, merasa curiga apabila minuman yang dipesan empat beranak tidak diambil walaupun sudah dibayar,” katanya.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]