Geng samun guna spray racun serangga tumpas

in Edisi Terengganu by


BESUT –  Polis menumpaskan geng Boy Alza yang dikesan menggunakan penyembur cecair racun serangga terhadap mangsanya sebelum menyamun  di sekitar daerah ini yang aktif sejak sebulan lalu.


Kumpulan terbabit dipercayai melakukan sekurang-kurangnya tujuh kes samun berjaya ditumpaskan berikutan penahanan tujuh lelaki termasuk ketuanya dalam tiga tangkapan berasingan sejak Khamis  sehingga awal pagi semalam.


Ketua Jabatan Siastan Jenayah  Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, susulan beberapa  kejadian samun di daerah ini, polis telah melancarkan gerakan dan risikan sehingga tertangkapnya dua lelaki berusia 17 dan 29 tahun di Kampung Pengkalan Nyireh pada jam 4 petang, Khamis lepas.


Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Alsa yang dilaporkan dicuri dalam kejadian samun di hadapan sebuah bank di bandar Jertih bulan lepas.


“Hasil siasatan terhadap dua suspek itu telah membawa kepada penahanan empat lagi rakan jenayah mereka  berusia  17 hingga 39 tahun termasuk ketua kumpulan dikenali Boy berusia 26 tahun dalam serbuan di Kampung Bukit Payung, Hulu Besut jam 6.30 petang, Jumaat,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, di sini tengahari tadi.


Hadir sama Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi.


Fazlisyam berkata lagi,  menerusi serbuan kedua itu sebanyak 33 keping dokumen seperti kad pengenalan, kad mesin pengeluar wang automatik (ATM) dan kad prabayar dipercayai milik mangsa dirampas di samping beberapa batang besi yang dipercayai dijadikan senjata ketika melakukan kegiatan jenayah.


Menurutnya, polis turut merampas beberapa telefon bimbit serta tiga buah kereta iaitu Proton Wira, Perodua Myvi dan Kancil.


Fazlisyam berkata, polis kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek yang ketujuh berusia 18 tahun di sebuah rumah di Kampung Teluk dekat Alor Lintah kira-kira jam 3.30 pagi kelmarin.


“Kita berjaya merampas tiga botol penyembur termasuk salah satunya satu botol penyembur racun pembunuh serangga daripada suspek ketujuh ini diberkas ini.


“Kumpulan ini dipercayai menggunakan modus operandi memanggil mangsa kemudian menyembur muka mangsa dengan cecair racun serangga untuk memedihkan mata mangsa sebelum menyamun,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]