Kutip sampah kerja siapa?

in Edisi Johor by


PERNAH atau tidak kita terfikir apa akan berlaku jika alam yang kita ada hari ini sakit tenat? Tiada lagi udara segar, tiada lagi makanan semula jadi malah tiada lagi pemandangan indah untuk dinikmati.


Kita tumpang menikmati pelbagai faedah daripada alam semula jadi sejak membuka mata sampai kembali menutup mata pada setiap hari, tapi jika alam tidak lagi mampu memberi segala kenikmatan itu bagaimana nasib kita?


Baru-baru ini saya berpeluang menyertai pasukan sukarelawan dari Universiti Malaya (UM) dan seorang pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Leela Rajamani dalam program Sibu Clean Up and Eco Learning. Di situ saya disedarkan tentang banyak perkara terutama kepentingan memiliki alam yang sihat dan memeliharanya.


Saya juga belajar satu perkara iaitu betapa ‘jahatnya’ botol minuman mahupun plastik makanan yang dibuang di laut dan sungai.


Mungkin kita fikir, ‘tak apa saya hanya buang satu botol plastik saja’ tapi bak kata pepatah Melayu, sedikit lama-lama jadi bukit.


Bayangkan, setiap individu di dunia ini membuang satu sampah setiap hari ke laut, apa akan berlaku kepada lautan kita?


Dalam program tiga hari dua malam itu, 19 sukarelawan ini bertungkus-lumus mengumpulkan sampah yang terdampar di sepanjang pantai di Pulau Sibu. Mungkin ia datang dari segala pelusuk negeri, negara mahupun dari luar negara.


Bukan kerana mereka dibayar dengan wang ringgit mahupun dijanjikan gred markah yang tinggi, sebaliknya ia dilakukan atas dasar kesedaran pentingnya alam sekitar yang sihat malah program itu dianjurkan bukan kerana kursus yang mereka ambil di universiti.


Sukarelawan yang hadir berganding bahu dengan anggota Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor (JTLMNJ), pengusaha resort dan penduduk kampung serta warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Sibu selama dua hari berturut-turut untuk gotong-royong.


Percaya atau tidak hampir dua tan sampah berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua hari itu meliputi pelbagai jenis plastik, botol minuman, kaca, polistirena, selipar, jaring, tali dan macam-macam lagi.

Sophie (tengah) sempat melepaskan lelah bersama sukarelawan sebelum menyambung kerja gotong-royong di Kampung Duku, Pulau Sibu.


Kerja ini memang melelahkan, namun pujian perlu diberikan kepada 19 sukarelawan dan kakitangan resort di sekitar yang melaksanakan aktiviti itu tanpa mengeluh.


Mungkin ramai yang tidak tahu, haiwan ikonik di Johor iaitu dugong dan penyu terancam dek sampah yang terdapat di lautan.


Malang nasib haiwan ini apabila berdepan kesakitan dan kematian sekiranya termakan sampah yang disangka makanan.


Ubah mentaliti


Kini masa yang paling sesuai untuk kita sama-sama mengubah mentaliti agar dapat kembali mengukuhkan rasa tanggungjawab untuk memelihara alam semula jadi.


Jangan meletakkan segala tanggungjawab itu kepada pihak berkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun pelajar sekolah, sebaliknya ia bermula dengan diri kita sendiri.


Jika setiap individu bertanggungjawab dalam setiap sampah yang dihasilkan setiap hari, pastinya tiada lagi masalah longgokan sampah di pantai mahupun dasar laut.

Sukarelawan bergambar kenangan dengan pengusaha Sea Gypsy Village yang banyak membantu mereka dalam penganjuran program itu sebelum berangkat pulang.


Dalam perjalanan pulang ke Sea Gypsy Village, tempat kami menginap, saya sempat berborak dengan seorang kru tim konservasi dari Rimba Resort, Sophie Devonport, 29.


Menurut Sophie, setiap kali membawa pelancong melakukan aktiviti snorkeling di sekitar pulau, mereka akan pastikan kawasan tersebut bersih dari segala sampah sarap sebelum meninggalkan tempat berkenaan.


“Memang kami tak pernah minta pelancong kutip sampah yang ada, tapi kami sendiri akan bersihkan setiap kali selesai aktiviti snorkeling di pulau.


“Tapi menariknya, mereka secara sukarela bantu kami mengutip sampah yang ada, malah ada yang meminta maaf.


“Di situlah kami akan beritahu mereka pentingnya meninggalkan setiap pulau itu bersih daripada segala sampah kerana ia tanggungjawab bersama,” katanya.


Malah kata Sophie, setiap pengusaha resort dan bot juga perlu mengambil berat perkara ini kerana pulau serta laut yang ada hari ini perlu dijaga, bukan hanya untuk kita tapi juga untuk anak cucu kita nanti.


Alangkah eloknya jika tiada lagi sampah dibuang merata-rata, baik di tanah besar mahupun di kawasan pulau supaya alam kita lebih sihat dan bebas dari tercemar.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]