Malaysian Tigers bakal jaguh Asia?

in Sukan by


MALAYSIAN Tigers berada dalam kedudukan terbaik untuk meraih gelaran jaguh Asia dalam saingan Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh.


Apa tidaknya, tiga perlawanan dalam peringkat Kumpulan B, skuad kendalian Stephen van Huizen itu tidak berdepan masalah untuk membelasah China dan Oman selain turut menjinakkan juara bertahan, Korea Selatan.


Malah, prestasi semasa pemain negara juga berada pada tahap terbaik sekali gus mengekalkan aksi konsisten selepas berjaya layak ke Piala Dunia 2018, melalui separuh akhir Liga Hoki Dunia, baru-baru ini.


Justeru, jika dilihat berdasarkan prestasi serta kesungguhan yang dipamerkan pemain, tidak mustahil untuk skuad negara muncul jaguh Asia buat kali pertama dalam sejarah pembabitan mereka dalam sukan hoki.


Bagaimanapun, harus diakui cabaran getir bakal diterima apabila mereka melangkah ke pusingan Super 4 apabila tiga lagi negara yang telah layak ke pusingan seterusnya diletakkan dalam satu kumpulan.  


Ia turut diakui legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi yang menyifatkan peringkat ini cukup penting bagi memastikan momentum kemenangan dapat diteruskan.

Malaysian Tigers meraikan jaringan ketika menentang Korea Selatan.


Menurutnya, saingan kali ini menampilkan format kejohanan yang berbeza dan semua pemain perlu bebas kecederaan dan berada pada tahap kecergasan terbaik.


“Saingan kali ini tiada separuh akhir, sekali gus membuatkan berada di kedudukan teratas kumpulan atau dua pasukan terbaik tidak banyak perbezaannya kerana dua pasukan daripada Kumpulan A dan B akan ke saingan ataupun Kumpulan Super 4.


“Empat pasukan ini akan bermain secara Round Robin dan dua pasukan teratas akan ke final,” katanya.


Di peringkat Super 4, Malaysia dijangka menerima cabaran sengit yang pastinya hadir dari India dan Pakistan.


Beberapa kelemahan juga perlu diambil kira dan diperbaiki segera berdasarkan data dari tiga perlawanan peringkat kumpulan, selain van Huizen perlu bijak merencana taktikal ampuh berdepan dua musuh ketat ini.  


Pakistan yang memegang tiga kali takhta kejuaraan pada 1982, 1985 dan 1989 bagaimanapun berada dalam prestasi kurang menentu apabila tumpas kepada India 1-3 dalam perlawanan peringkat kumpulan.


Manakala India sudah pasti mahu melunaskan dendam tewas mengejut kepada Malaysia dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia baru-baru ini.


Walau apa jua situasi dan keadaan, skuad negara tetap berada pada tahap terbaik mereka dan mencerahkan peluang untuk mencipta kejutan dalam saingan Piala Asia ini.


Ayuh Malaysian Tigers!!


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]