Mangsa hakisan pantai bakal terima kunci 6 Nov

in Edisi Utara by


YAN – Seramai 78 penerima bakal menerima kunci rumah di Taman Muafakat Dulang yang dibina khas buat mangsa hakisan pantai sekitar Kampung Kuala Dulang pada 6 November ini.


Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Kedah, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, 40 penerima daripada jumlah tersebut ialah mereka yang terlibat secara langsung dengan kejadian hakisan pantai.


“Kesemua mereka telahpun melalui proses temuduga dan telah melepasi syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2017 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, di Balai Bomba Yan, pagi tadi.


Katanya, rumah berkenaan telah dibina oleh Yayasan Haji Zainudin sebanyak 100 unit dan lebihan unit tersebut akan dibuka kepada mereka yang layak dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang tinggal di mukim Dulang,” katanya.


Ku Rahman berkata, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan wang sebanyak RM5 juta bagi menyiapkan segala prasarana seperti kemudahan jalan, lampu, air, elektrik dan sebagainya bagi membolehkan penghuni tinggal dalam keadaan selesa dan selamat.


“Pihak kerajaan negeri juga turut membina tapak pasar dihadapan perumahan berkenaan bagi membolehkan penghuni rumah tersebut dapat menjalankan perniagaan kecil kecilan bagi menampung keperluan hidup mereka.


“Kerajaan telah memperinci pelbagai perkara bagi memastikan rakyat dapat merasai kesenangan,” katanya.


Ditanya berkaitan syarat yang dikenakan, Ku Rahman berkata terdapat beberapa syarat yang dikenakan kepada penerima antaranya ialah merobohkan rumah lama.


“Kita bimbang terdapat agenda lain sekiranya rumah lama mangsa hakisan pantai yang terletak di sekitar persisiran pantai tanah milik kerajaan tidak dirobohkan,” katanya.


Katanya, syarat-syarat lain kepada penerima bakal diumumkan oleh Menteri Besar Kedah pada 6 November nanti.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]