Murung terkenang arwah ibu

in Edisi Utara by


TASEK GELUGOR – Kasih ibu bawa ke syurga. Itu antara kisah tiga saudara yang menghadapi masalah kemurungan setelah ibu mereka meninggal dunia beberapa tahun lalu.


Mahmud Saad, 48; Mohamad Samsuri Saad, 47 dan Mohamad Syafiq Saad, 31, mengalami masalah kemurungan serta menghidap kencing manis sejak beberapa tahun lalu.


Ibu saudara, Rokiah Ahmad, 59, berkata, keadaan anak saudaranya dalam keadaan baik ketika ibu mereka meninggal dunia pada 2004.


“Mereka semua lapan beradik, tiga beradik perempuan dah lepas rumah (berkahwin), tinggal sekarang lima beradik, yang sakit ada tiga orang.


“Buat masa sekarang mereka dijaga Mohamad Asyraf Saad dan Mohd Nordin Saad. Mak cik tinggal kampung sebelah dan adakala datang jenguk depa. Kalau bukan mak cik yang tolong, siapa lagi?” katanya.


Katanya, dahulu keadaan keluarga ini sama seperti keluarga lain.


“Dulu lain. Masa ayah depa meninggal, depa boleh terima. Tapi lepas mak depa meninggal, seorang demi seorang kemurungan. Nak makan tak lalu, mungkin sebab teringat dekat arwah.


“Tambah bagi Mahmud, dia anak sulung dan dulu bekerja untuk sara adik-adik. Masa dia elok dulu, memang dia rapat dengan arwah maknya. Lepas mak dia meninggal, lama-lama keadaannya berubah jadi pendiam. Mungkin sebab terlalu memendam rasa.


“Selain masalah kemurungan, Mahmud juga pernah menjalani pembedahan tonsil. Samsuri dan Syafiq pula, lebih suka menyendiri. La yang dok sara depa Asyraf dan Mohd Nordin,” katanya.


Menurutnya, hati sering tersentuh tatkala melihat keadaan tiga beradik ini.


“Bila tengok depa, saya tak tau nak kata apa. Rasa sedih sangat sebab kita kenal depa, tau depa macam mana. Memang keadaan depa tak macam ni dulu. Mujurlah jiran sekeliling ambil berat, kadangkala makan minum pun jiran bantu,” katanya.


Hati tersentuh tatkala melihat keadaan ketiga beradik ini yang bagaikan kosong jiwa biarpun disapa. Seolah-olah kenangan bersama arwah ibu mereka sukar untuk dilupakan.


Nasib keluarga ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menziarahi keluarga ini, semalam.


Kunjungan turut sama menyampaikan sumbangan berupa katil dan beberapa sumbangan lain untuk meringankan bebanan keluarga ini.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]