N.Sembilan laksana program pemutihan tanah TOL

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan sedang melaksanakan program pemutihan terhadap tanah milik kerajaan negeri yang diduduki di atas status Tanah Pendudukan Sementara atau TOL.


Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini berikutan terdapatnya banyak kes-kes pelanggaran syarat TOL di negeri ini.


“Mengikut Kanun Tanah Negara, kalau tanah tersebut diduduki di atas kategori TOL atau pun Lesen Pendudukan Sementara (LPS), syaratnya ialah ia tidak boleh membina bangunan kekal kerana permit dan lesen TOL ini perlu diperbaharui setiap tahun.


“Tanah TOL atau pun LPS, ia diperbaharui setiap tahun dan salah satu syarat yang diletakkan dalam syarat kelulusan TOL tersebut ialah tidak ada bangunan kekal yang diletakkan atau pun tidak ada tanaman dan pokok yang bersifat kekal di tanah itu. Tapi, kita mendapati hampir 90 peratus tanah TOL ini melanggar syarat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata kuasa pembaharuan permit dan lesen TOL kini telah diambilalih oleh Exco kerajaan negeri di mana sebelum ini, kuasa itu adalah di bawah Pejabat Tanah.


“Apabila semua pembaharuan permit dan lesen TOL ini mesti diluluskan oleh Exco kerajaan negeri mulai tahun ini, kita mendapati hampir 90 peratus tanah TOL ini melanggar syarat. Berasaskan kepada itu, kita sudah membuat cara baharu iaitu semua tanah-tanah ini akan kita rundingkan semula.


“Tanah tersebut akan kita wartakan di bawah kelolaan ‘reserve’ Setiausaha Kerajaan Negeri dan tanah ini nanti akan kita buat satu perjanjian sewa-pajak dengan mereka yang diduduk di atas tanah tersebut,” katanya.


Mohamad berkata sistem sewa-pajak ini adalah sistem baharu yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2018 mengikut kadar tarif kegunaan tanah itu iaitu sama ada, komersil, industri, perumahan, pertanian dan sebagainya.


“Selain situasi menang-menang, kita membuat ini kerana kita hendak mengharmonikan keadaan. Dengan cara ini, mereka yang duduk di atas tanah TOL tidak ada pelanggaran dalam undang-undang Kanun Tanah Negara sebab tanah itu telah di ‘reserve’ di bawah ‘reserve’ warta Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.


Katanya kadang-kadang ada tanah TOL ini dibuat setor dan dengan cara baharu ini ia adalah mengikut kadar nilaian daripada Pejabat Penilaian Harta.


“Jika kerajaan negeri tidak ada apa-apa perancangan di atas tanah tersebut, mengapa tidak boleh dibuat sewa-pajak…dan sewa-pajak ini boleh jadi lima tahun, boleh jadi sepuluh tahun. Semua yang dibuat ini adalah untuk membetulkan keadaan,” katanya. – Bernama

 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]