Pantau sistem saliran lama

in Edisi Johor by


PONTIAN – Sistem saliran lama di beberapa taman perumahan daerah ini perlu dilihat semula berikutan kawasan tersebut kini terdedah kepada banjir kilat.


Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, meskipun banjir kilat yang berlaku di Taman Nilam dan Taman Nong Chik tidak teruk, namun ia tetap memberi kesan kepada penduduk.


Ini kerana, menurutnya, banjir kilat yang berlaku mengganggu kehidupan seharian penduduk selain perlu memperuntukkan masa dan kos untuk membersihkan rumah selepas air surut.


“Isu banjir kilat bukan mudah untuk diselesaikan tetapi sekiranya mendapat kerjasama daripada penduduk, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain, pasti akan ada jalan untuk mengurangkan risiko banjir kilat berlaku.


“Saya lihat gotong-royong yang diadakan bersama penduduk setempat amat membantu dalam usaha melahirkan kawasan perumahan yang bersih dan selamat,” katanya ketika melancarkan program NBOS My Beautiful Neighbourhood (MyBN) Gotong-Royong 2017 Peringkat Parlimen Tanjung Piai di Taman Nilam di sini, kelmarin.


Ujar Jeck Seng, selain memastikan kawasan perumahan berada dalam keadaan bersih, program itu juga bertujuan mengeratkan hubungan sesama jiran.


“Aktiviti gotong-royong sering diadakan di kawasan perumahan di sini, tapi apa yang membezakan kali ini ia diadakan serentak dengan pameran dan demonstrasi daripada agensi kerajaan.


“Antaranya bomba, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Daerah Pontian (MDP),” katanya.


Sementara itu, Yang Dipertua MDP, Kamaludin Jamal mengingatkan masyarakat setempat supaya menjaga kebersihan terutama ketika musim hujan kerana dikhuatiri boleh mengundang kes denggi.


Katanya, kesedaran masyarakat penting untuk mengelak tempat berpotensi membiak aedes selepas kawasan penempatan mereka dilanda banjir kilat.


“Beberapa kawasan yang sebelum ini dikesan tidak pernah mengalami banjir kilat kini terdedah kepada risiko bencana alam itu berikutan perubahan cuaca yang dialami kini.


“Jika dulu musim hujan berlaku pada akhir tahun iaitu antara November dan Disember. Tapi sekarang ini sedikit berbeza di mana ia berlaku lebih awal iaitu pada September.


“Malah ada kawasan yang mengalami banjir kilat lebih awal disebabkan taburan hujan luar biasa pada bulan lepas,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]