Pelan tindakan selesai masalah kaum India

in Politik by


PUTRAJAYA – Pelan Tindakan Masyarakat India yang dilancarkan April lepas akan menyelesaikan masalah sosioekonomi khususnya dalam isu pendidikan dan kebajikan kaum India secara teratur dan efektif dalam tempoh masa 10 tahun, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.


Beliau berkata pelbagai program pembangunan telah digariskan dalam pelan induk itu bagi mendalami, menyelami, mendekati dan menyelesaikan masalah-masalah kritikal yang membelenggu masyarakat India.


Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan menyifatkan segala perancangan ini merupakan keikhlasan dan kejujuran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangani permasalahan masyarakat India secara inklusif dan bersifat multidimensi agar golongan itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.


“Semua rancangan telah ditetapkan dan sedang dilaksanakan secara teratur. Saya yakin dan berharap melalui usaha pelan tindakan ini, harapan kita satu penyelesaian jangka masa panjang dalam semua perkara yang melibatkan kaum India boleh dicapai dan berhasil.


“Kejayaan pelan itu akan mewujudkan peluang pekerjaan dari pelbagai aspek, antaranya pendidikan, perniagaan, pekerjaan dan pembangunan ekonomi akan ditambah serta menyediakan masa depan yang cerah kepada generasi muda,” katanya dalam perutusan sempena Deepavali yang akan disambut Rabu ini.


Dr Subramaniam dalam masa yang sama menggesa penganut Hindu di negara ini untuk menggunakan perayaan Deepavali sebagai landasan menyemarakkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.


“Sambutan Deepavali menandakan kemenangan atas kejahatan dan menghapuskan segala kedengkian. Ini bukan sahaja satu mitologi, tetapi memaparkan kehidupan kita setiap hari kerana ada kalanya perkara baik atau buruk berlaku,” katanya.


Dr Subramaniam turut menasihati rakyat Malaysia agar makan secara sederhana, pilih makanan sihat dan mengurangkan makanan yang kaya dengan lemak dan gula bagi mengurangkan risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin ketara dalam kalangan masyarakat India.


“Jangan asyik duduk di hadapan televisyen dan menonton drama. Sebaliknya, adalah penting bagi pupuk budaya sihat dengan melakukan senaman serta bergerak secara aktif bagi mengelakkan penyakit seperti kencing manis, serangan jantung dan berat badan berlebihan,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan pula menasihati rakyat agar terus bersatu padu dan mengekalkan keharmonian sedia ada sekali gus menepis segala anasir negatif dari luar yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum.


“Justeru, kaum India di negara ini harus terus bersama kerajaan sedia ada malah yakin Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan akan sentiasa membela kaum India. Jangan kita mendengar dakyah dan pembohongan sesetengah pihak yang kononnya kerajaan mengabaikan kepentingan kaum India di negara ini,” katanya.


Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan pula menyifatkan sambutan Deepavali merupakan satu platform untuk mewujudkan perasaan silaturahim antara kaum serta mengukuhkan institusi kekeluargaan dan menghormati satu sama yang lain. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]